MIDF Research optimis terhadap prospek jangka Panjang Leong Hup dipacu permintaan mampan bagi haiwan ternakan | DagangNews Skip to main content

MIDF Research optimis terhadap prospek jangka Panjang Leong Hup dipacu permintaan mampan bagi haiwan ternakan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Jun - MIDF Research optimis terhadap prospek jangka panjang Leong Hup International Bhd dipacu oleh permintaan mampan untuk haiwan ternakannya selain penyusutan harga komoditi untuk makanan ternakan.

 

Katanya, penurunan itu membantu kumpulan itu mengurangkan kos bahan mentah dalam segmen produk berkaitan haiwan ternakan.

 

Firma penyelidikan yakin bahawa kumpulan itu berada pada kedudukan yang baik untuk memperoleh peluang lebih baik di Vietnam dan Filipina.

 

"Kumpulan itu menyasarkan peruntukan belanjawan kurang daripada RM300 juta bagi FY24 dan beberapa projek utama termasuk kilang pemyembelihan baharu di Yong Peng dengan kapasiti 24,000 ekor setiap hari dijangka siap menjelang 3QFY25.

 

"Selain itu, sebuah gudang bahan mentah baharu di kilang suapan Tarlac di Filipina ditetapkan untuk meningkatkan kapasiti sebanyak 25% dan ia dijangka siap pada 3QFY24," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2024 (1QFY2024) meningkat lebih dua kali ganda kepada RM56.58 juta berbanding RM22.14 juta setahun sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh pemulihan dalam operasi Indonesia pada margin yang lebih baik untuk haiwan ternakan.

 

Hasil suku tahunan pengeluar ayam, telur dan makanan ternakan meningkat 9.8% kepada RM2.41 bilion daripada RM2.2 bilion setahun lalu.

 

MIDF Research berkata, di Indonesia, jenama runcit Sunny Chick membuka dua kedai baharu pada 1QFY24, menjadikan jumlah keseluruhan 26 cawangan dan satu trak makanan.

 

Di Filipina, jenama runcit LH Deli menambah tujuh kiosk baharu pada 1QFY24, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 61 cawangan, semuanya berasaskan francais.

 

Melangkah ke hadapan, pengurusan berhasrat untuk mengurangkan lagi jumlah pinjaman untuk mengurangkan kos kewangan dalam persekitaran kadar faedah yang tinggi semasa.

 

Kumpulan itu juga komited untuk pembayaran dividen sekurang-kurangnya 30% daripada untung bersih pada masa hadapan.

 

"Kami mengekalkan aranan 'beli' dengan harga sasaran 70 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com