MIDF Research positif terhadap prospek Gas Malaysia didorong peningkatan permintaan domestik | DagangNews Skip to main content

MIDF Research positif terhadap prospek Gas Malaysia didorong peningkatan permintaan domestik

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Mei - MIDF Research kekal positif terhadap prospek Gas Malaysia Bhd didorong pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta peningkatan permintaan domestik.

 

Katanya, kumpulan itu akan terus beroperasi dengan cekap dan kekal berdaya saing dalam perniagaan.

 

"Kami kekal positif terhadap daya tahan berterusan kumpulan dalam prestasi kewangannya. 

 

"Keyakinan itu disokong oleh jangkaan harga minyak mentah Brent yang stabil pada tahun ini dan pertumbuhan dalam sektor perindustrian dan pengguna domestik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan untung bersih RM102.63 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac, 2024 (1QFY24) berbanding RM95.1 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.

 

Bagaimanapun, perolehan Gas Malaysia susut kepada RM1.87 bilion daripada RM2.44 bilion bagi tempoh sama berikutan harga jualan gas asli purata lebih rendah, diimbangi oleh jumlah jualan gas asli yang lebih tinggi dan fi tol yang juga meningkat.

 

Keuntungan sebelum zakat dan cukai bagi suku pertama 2024 kumpulan itu ialah RM136.59 juta, meningkat 7.9% daripada RM126.63 juta semasa suku sama tahun kewangan 2023.

 

Firma penyelidikan itu berkata, memandangkan pendapatan kumpulan tu berada dalam jangkaan, mereka tidak membuat perubahan pada ramalan pendapatan Gas Malaysia ketika ini.

 

Katanya, keputusan 1QFY24 Gas Malaysia berada dalam jangkaan dan consensus masing-masing sebanyak 22% dan 28%.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM3.96 sesaham," katanya. - DagangNews.com