MIDF Research positif terhadap sektor pengguna didorong kestabilan pasaran tenaga kerja | DagangNews Skip to main content

MIDF Research positif terhadap sektor pengguna didorong kestabilan pasaran tenaga kerja

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 April - MIDF Research positif terhadap sektor pengguna Malaysia, berdasarkan pasaran tenaga kerja stabil yang menyokong penggunaan domestik, pergerakan pelancong yang tinggi, margin yang lebih baik untuk pengeluar makanan dan minuman serta prospek ringgit yang lebih kukuh.

 

Firma memilih syarikat berkaitan makanan ruji sebagai pilihan utama bagi sektor itu berikutan permintaan berdaya tahan bagi barangan keperluan walaupun berdepan pelbagai cabaran.

 

Antara syarikat yang menjadi pilihan termasuk QL Resources Bhd dengan harga sasaran (TP) RM6.80, diikuti oleh Fraser & Neave Holdings Berhad (TP: RM33.50), dan AEON Co (M) Berhad (TP: RM1.90).

 

Firma itu mengunjurkan perdagangan runcit kekal positif pada 2023, berikutan kadar dasar semalaman (OPR) yang kekal di bawah paras pra-pandemik, tekanan inflasi yang berkurangan dan pasaran tenaga yang lebih kukuh.

 

Katanya, trajektori menaik juga akan disokong oleh pelbagai bantuan dan insentif untuk kumpulan B40 dan M40 di bawah Bajet 2023 untuk menyokong penggunaan isi rumah, serta peningkatan dalam aktiviti pelancongan yang akan meningkatkan lagi perbelanjaan perdagangan runcit.

 

“Secara keseluruhannya, kami percaya jualan runcit yang kukuh pada 2023 akan memanfaatkan peruncit seperti Aeon dan Padini Holdings Berhad (TP: RM4.40),” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Sementara itu, mengenai harga bahan mentah, firma itu menjangkakan harga makanan ayam akan kekal tinggi dalam masa terdekat, walaupun penurunan harga purata jagung baru-baru ini.

 

"Melangkah ke hadapan, kami menganggap pemampatan margin untuk penternak ayam itik akan berterusan dalam tempoh terdekat, disebabkan peningkatan perbelanjaan tenaga kerja serta had harga berterusan untuk runcit ayam dan telur," katanya.

 

Firma itu berkata, kos gula mentah yang lebih tinggi diunjurkan dapat diurus oleh pengeluar makanan, berikutan penggunaan gula yang agak rendah berbanding gandum dan minyak sawit mentah, serta banyak pengubahsuaian harga yang diterima pakai pada tahun sebelumnya yang dijangka mengimbangi kenaikan kos. - DagangNews.com