MIDF Research ramal purata harga minyak sawit mentah susut kepada RM3,344 setiap tan pada Jun | DagangNews Skip to main content

MIDF Research ramal purata harga minyak sawit mentah susut kepada RM3,344 setiap tan pada Jun

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Jun - MIDF Research meramalkan purata harga minyak sawit mentah (MSM) menyusut 14.3% dari bulan ke bulan kepada RM3,344 pada Jun dengan jangkaan kehadiran La Nina pada separuh kedua tahun ini.

 

Katanya, pada Mei 2024, harga MSM mencatatkan kenaikan sebanyak 5.2% dari bulan ke bulan kepada RM4,060 bagi setiap tan.

 

Bagaimanapun, harga purata bulanan lebih rendah pada RM3,903 setiap tan disebabkan kebimbangan berterusan tentang risiko El-Nino.

 

"Risiko dijangka berkurangan dengan pengeluaran buah tandan segar (BTS) dan MSM yang lebih tinggi, serentak dengan penghujung kitaran pendebungaan dan memasuki tempoh musim tanaman yang tinggi.

 

"Di peringkat global, unjuran menunjukkan peningkatan dalam pengeluaran minyak bijian dan kacang soya untuk 2024/2025, boleh membawa kepada aliran menurun dalam harga minyak sayuran dan minyak soya lain disebabkan pengurangan risiko bekalan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun El-Nino memuncak pada April, namun cuaca kering dan lembap mungkin berpanjangan sehingga Julai, sekali gus meningkatkan aktiviti ladang terutamanya dari segi proses pemindahan BTS dan aktiviti pembajaan.

 

Katanya, pengeluaran MSM mengekalkan momentumnya dan dijangka berterusan dalam beberapa bulan akan datang meraih faedah penggunaan baja sejak 2 tahun lalu.

 

MIDF Research berkata, hasil syarikat-syarikat perladangan dijangka terus meningkat sehingga suku kedua 2024 selaras engan kenaikan harga purata MSM kerana kebanyakannya dipengaruhi oleh musim tanaman rendah dan peristiwa El-Nino yang sederhana.

 

Mereka menjangkakan, pilihan utama dalam sektor itu termasuk Ta Ann dan IOI Corp akan terus mencatat keuntungan dengan jangkaan kenaikan harga saham kumpulan itu.

 

"Kami mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor itu dengan jangkaan MSM didagangkan pada harga RM3,600 bagi setiap tan untuk sepanjang tahun ini," katanya.- DagangNews.com