MIDF Research semak naik penarafan KKB Engineering kepada 'beli' berbanding 'neutral' | DagangNews Skip to main content

MIDF Research semak naik penarafan KKB Engineering kepada 'beli' berbanding 'neutral'

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Nov - MIDF Research menyemak naik penarafan KKB Engineering Berhad kepada 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.50.

 

Firma itu sebelum ini menyemak turun penarafan kumpulan itu kepada 'neutral'dan semakan semula itu berdasarkan kepada kenaikan harga sahamnya di pasaran. 

 

Firma itu juga optimis terhadap prospek kumpulan itu selepas bahagian pembinaan awamnya mencatatkan kemajuan.

 

Katanya, margin keuntungan juga dijangka bertambah baik pada suku akan datang dengan penurunan harga bahan binaan seperti bar keluli yang mencatatkan penurunan selama empat bulan berturut-turut sehingga Oktober 2022.

 

"Kami menjangkakan aliran kerja dalam tempoh terdekat tertumpu kepada projek sedia ada, terbengkalai dan projek sakit dengan pengurusan juga berusaha untuk melancarkan kerja infrastruktur baharu.

 

"Pihak pengurusan juga optimis akan meraih lebih banyak projek baharu pada tahun hadapan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, keuntungan teras kumpulan bagi 3QFY22 menyusut 68.5% kepada RM3 juta selepas mengetepikan sumbangan RM2 juta sekali sahaja pada September 2022 yang dibuat sempena ulang tahun ke-60 syarikat itu.

 

Bagi 9MFY22, pendapatan teras adalah kumpulan adalah 68.0% atau RM6.8 juta lebih rendah daripada jangkaan firma itu dan ia hanya menyumbang 27.6% daripada unjuran setahun penuh.

 

Firma itu menjangkakan unjuran hasil kumpulan kekal kukuh tetapi memotong jangkaan pendapatan teras bagi FY22 sebanyak 30% kepada RM17.3 juta bagi mencerminkan margin keuntungan yang lemah.

 

"Kami mengekalkan jangkaan FY23 kami buat masa ini kerana kami menjangkakan tahun hadapan adalah tahun yang menggalakkan untuk sektor pembinaan tahun hadapan," katanya. - DagangNews.com