MIDF Research semak turun unjuran pendapatan FY25 Matrix Concepts sebanyak 5.6% kesan perbelanjaan tinggi | DagangNews Skip to main content

MIDF Research semak turun unjuran pendapatan FY25 Matrix Concepts sebanyak 5.6% kesan perbelanjaan tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Mei - MIDF Research menyemak turun unjuran pendapatan FY25 Matrix Concepts Holdings Bhd sebanyak 5.6% kesan daripada perbelanjaan yang lebih tinggi.

 

Katanya, pendapatan teras bersih kumpulan sebanyak RM237 juta adalah di bawah jangkaan tetapi berada dalam anggaran konsensus, masing-masing membentuk 93% dan 96% daripada anggaran keseluruhan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pihaknya telah mengecualikan pembalikan rosot nilai dalam pengiraan pendapatan bersih teras dan sisihan pendapatan negatif boleh dikaitkan dengan perbelanjaan yang lebih tinggi daripada jangkaan pada 4QFY24.

 

"Kami kekal positif terhadap Matrix Concepts kerana prospek pendapatan jangka panjangnya seharusnya disokong oleh jualan baharu yang stabil daripada projek di Bandar Sri Sendayan. 

 

"Selain itu, pengembangan bank tanahnya di Labu akan terus memacu pertumbuhan pendapatan pada masa hadapan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 (FY24), Matrix Concepts mencatatkan keuntungan bersih RM246.47 juta, meningkat daripada RM207.22 juta pada tahun sebelumnya.

 

Hasil bagi FY24 meningkat 20.4% kepada RM1.34 bilion daripada RM1.11 bilion pada FY23, berikutan pengiktirafan hartanah kediaman dan komersial, ditambah dengan jualan hartanah industri dan peningkatan sumbangan daripada bahagian pendidikan dan hospitaliti.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pada tahun ini, Matrix Concepts mencatatkan pertumbuhan jualan hartanah baharu yang sihat sebanyak 3.6% kepada RM1.25 bilion disokong jualan kediaman dua tingkat, tanah perindustrian terpilih, serta dilengkapi dengan projek di Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Johor .

 

Katanya, pada akhir FY24, kumpulan itu mempunyai jualan belum dibilkan sebanyak RM1.2 bilion, memberikan pengiktirafan pendapatan masa hadapan dalam tempoh 15 hingga 18 bulan akan datang.

 

"Kami mengekalkan aranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi iaitu RM2.00 berbanding RM1.91 sesaham," katanya.- DagangNews.com