MIDF Research turunkan penarafan Eco World Development kepada 'neutral', TP RM1.51 sesaham | DagangNews Skip to main content

MIDF Research turunkan penarafan Eco World Development kepada 'neutral', TP RM1.51 sesaham

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Mac - MIDF Research menyemak turun penarafan Eco World Development Group Bhd kepada 'neutral' berbanding 'beli' dengan harga sasaran (TP) disemak semula kepada RM1.51 sesaham.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan bersih teras kumpulan itu pada 1QFY24 susut sebanyak 19.9% dari suku tahun ke suku tahun kepada RM70.9 juta sejajar dengan penyusutan hasil sebanyak 36.3%.

 

"Pendapatan yang lebih rendah adalah disebabkan asas yang tinggi pada 4QFY23 disebabkan pengiktirafan hasil daripada penjualan tanah di Eco Business Park II.

 

"Bagaimanapun, kemerosotan pendapatan itu diimbangi oleh perbelanjaan pemasaran dan pentadbiran yang lebih rendah.

 

"Kami juga mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan bagi FY24/FY25/FY26 dan menurunkan diskaun kepada nilai aset bersih sebenar (RNAV) kepada 35% daripada 43% memandangkan momentum jualan baharu yang stabil," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Eco World Development meningkat kepada RM69.6 juta pada 1QFY24

 

MIDF Research berkata, Eco World mencatatkan jualan baharu sebanyak RM1.26 bilion bagi empat bulan pertama FY24 merangkumi 36% daripada sasaran jualan baharu pengurusan sebanyak RM3.5 bilion.

 

Katanya,  projek di wilayah selatan Malaysia menyumbang 57% daripada jualan baharu, projek di wilayah tengah menyumbang kepada 30% daripada jualan baharu manakala baki 13% disumbangkan oleh projek daripada wilayah utara.

 

"Sementara itu, kunci kira-kira Eco World kekal sihat dengan penggearan bersih pada 0.28x pada 1QFY24, menjadikan Eco World berada pada kedudukan yang baik untuk memperoleh bank tanah. - DagangNews.com