MIDF Research unjur kadar inflasi keseluruhan 2024 berada pada paras 3.2% | DagangNews Skip to main content

MIDF Research unjur kadar inflasi keseluruhan 2024 berada pada paras 3.2%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Mac - MIDF Research mengunjurkan kadar inflasi keseluruhan 2024 berada pada purata 3.2% dengan andaian subsidi bahan api bersasar mungkin dilancarkan seawal Jun tahun ini. 

 

Katanya, kerajaan mungkin memperkenalkan mekanisme apungan harga terurus untuk RON95 dan menyediakan bantuan tunai kepada mereka yang layak seperti berpandukan kepada Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

 

"Oleh itu, kita mungkin melihat inflasi bukan makanan meningkat kepada 2.9% manakala bekalan domestik yang lebih baik dan harga komoditi global yang normal akan mendorong kadar inflasi makanan lebih rendah iaitu 3.7% pada tahun ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Inflasi Malaysia meningkat 1.8% pada Februari 2024 - DOSM

 

Terdahulu, peningkatan inflasi pada Februari 2024 telah didorong oleh peningkatan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (2.7%); rekreasi, sukan dan kebudayaan (1.6%) dan pengangkutan (1.2%). 

 

Sementara itu, kumpulan utama lain meningkat lebih perlahan termasuk restoran dan perkhidmatan penginapan (2.9%), kesihatan (2.2%), makanan dan minuman (1.9%) serta pendidikan (1.5%). 


Peningkatan 2.7% bagi perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain, berbanding 2% pada Januari 2024, disumbangkan oleh subkumpulan utama bekalan air dan pelbagai perkhidmatan berkaitan dengan rumah kediaman pada 29.7% (Januari 2024: 9.3%). 

 

Berhubung dengan inflasi di peringkat negeri, kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional 1.8% kecuali di lima negeri iaitu Pulau Pinang (2.7%), Pahang (2.4%), Selangor (2.1%), Perlis (2%) dan Sarawak (1.9%). 

 

Kesemua negeri mencatatkan peningkatan inflasi makanan dan minuman dengan yang tertinggi direkodkan di Putrajaya (3.2%), diikuti Selangor (3%), Pulau Pinang (2.5%), Labuan (2.3%), Sarawak (2.2%), Perlis (2.2%) dan Pahang (2.1%). - DagangNews.com