KUALA LUMPUR 28 Jun - MIDF Research menjangkakan prospek bercampur dalam sektor hartanah pada separuh kedua tahun ini dengan potensi kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) akan menjejaskan minat belian pada masa hadapan.
Firma itu berkata, jumlah transaksi yang rendah pada suku pertama tahun ini akan menjadikan faedah belian kembali normal selepas permintaan rendah pada separuh kedua tahun lalu.
"Bagaimanapun, kediaman tidak terjual yang lebih rendah dalam pada suku pertama adalah positif kepada sektor hartanah kerana ia mengurangkan kebimbangan mengenai lebihan bekalan hartanah kediaman di Malaysia," katanya dalam satu nota kajian.
Firma itu berkata, berdasarkan data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), kediaman tidak terjual di Malaysia kekal dalam aliran menurun pada suku pertama tahun ini.
Katanya, kediaman tidak terjual terus mencatat penurunan kepada 26,872 unit pada tahun ini selepas jatuh kepada 27,746 unit pada 2022 daripada 36,863 unit pada 2021.
"Selangor mempunyai unit kediaman tidak terjual tertinggi iaitu 4,995 unit, diikuti Johor (4,759 unit) dan Kuala Lumpur (3,423 unit).
"Penurunan berterusan dalam kediaman tidak terjual boleh dikaitkan dengan minat belian yang lebih tinggi ke atas hartanah berikutan pembukaan semula sempadan ekonomi dan negara," katanya.
Firma itu kekal 'neutral' tetapi cenderung ke arah positif terhadap sektor itu.
Katanya, pilihan utama mereka dalam sektor itu adalah Mah Sing Group (beli; TP: 78 sen) dan Glomac Berhad (beli, TP: 43 sen).
"Kami kekal positif terhadap pemaju yang memberi tumpuan kepada projek pembinaan dalam segmen pasaran pertengahan dan mampu milik.
"Kami terus melihat permintaan yang berdaya tahan untuk rumah mampu milik berikutan permintaan daripada pembeli rumah pertama," katanya. - DagangNews.com