KUALA LUMPUR 25 Jan - MIDF Research menjangkakan jumlah keseluruhan industri (TIV) 2023 kekal tinggi mengatasi tahun-tahun sebelumnya.
Firma itu mengekalkan unjuran TIV bagi 2023 sebanyak 678,000 unit pada ketika ini tetapi mungkin akan membuat penilaian semula memandangkan pesanan tertunggak 2022 yang besar dan momentum tempahan baharu yang kukuh.
Katanya, unjuran TIV bagi 2023 adalah tinggi berbanding rekod tertinggi iaitu 666,631 unit yang dicapai pada 2015.
"Kami menjangkakan pulangan atas ekuiti (ROE) sektor itu pada 2023 kekal pada paras dua angka sebanyak 12% selain dividen yang menarik pada purata hasil 15%.
"Selain itu, ia juga akan didorong keadaan makroekonomi yang bertambah baik dan normalisasi kadar faedah yang lebih baik secara berperingkat serta pengukuhan nilai ringgit," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Pada Disember 2022, TIV adalah jauh lebih kukuh berbanding jangkaan dengan rekod tertinggi 76,657 unit menjadikan jumlah keseluruhan 720,658 unit.
Rekod TIV didorong oleh Perodua, yang mencatatkan jualan tertinggi sebanyak 282,029 unit.
Firma itu kekal positif terhadap sektor automotif didorong oleh tukaran mata wang asing yang lebih baik selain pesanan tertunggak yang kukuh sehingga sembilan bulan.
Katanya, pelancaran model baharu juga akan melonjakkan jualan kenderaan dan persekiaran makroekonomi lebih baik juga akan membantu mengurangkan inflasi dan memacu penggunaan domestik. - DagangNews.com