MIDF semak naik penarafan saham Globetronics kepada ‘beli’ | DagangNews Skip to main content

MIDF semak naik penarafan saham Globetronics kepada ‘beli’

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Julai - Prospek jangka panjang Globetronics Technology Berhad yang masih menarik telah mendorong MIDF Research untuk menyemak naik penarafan saham kumpulan daripada ‘neutral’ kepada ‘beli’.

 

Harga sasaran (TP) bagaimanapun dikekalkan pada kadar RM3.22 sesaham dengan firma penyelidikan itu percaya kepakaran Globetronics dalam produk sensor berteknologi tinggi boleh dimanfaatkan ke dalam pelbagai aplikasi. 

 

“Pada masa akan datang, kami menjangkakan pertumbuhan perolehan yang lebih konsisten. Ini terutamanya akan disokong oleh penghasilan sensor pintar baharu kumpulan di mana merangkumi cahaya, gerak isyarat dan pergerakan. 

 

“Dalam pada itu, pemulihan dalam pasaran automotif juga akan mendatangkan sokongan kepada perniagaan LED kumpulan.

 

“Setelah mengambil kira kesemua faktor itu, kami meningkatkan saranan untuk (saham) Globetronics kepada ‘beli’ daripada ‘neutral’,” jelas firma penyelidikan itu dalam satu nota kajian.

 

Globetronics menyaksikan perolehan ternormal pada suku kedua tahun kewangan 2021 (2QFY21) meningkat 31.4% tahun ke tahun (y-o-y) daripada RM4.3 juta.

 

Ini terutamanya dipacu oleh jumlah pemuatan yang lebih tinggi daripada sesetengah pelanggan kumpulan dan campuran produk yang lebih baik.

 

Dari segi prestasi sepanjang separuh pertama FY21 (1HFY21), kumpulan bagaimanapun mencatatkan prestasi kewangan yang lebih rendah daripada jangkaan MIDF.

 

“Perlu diperhatikan trend sejarah (prestasi kewangan kumpulan) sebelum ini, kumpulan berprestasi lebih baik pada separuh kedua tahun kewangan.

 

“Globetronics mempunyai banyak rancangan untuk mengembangkan perniagaannya menerusi perluasan ruang kilang sebanyak 30% di Pulau Pinang yang berterusan (disasarkan selesai pada Ogos atau September 2021; meningkatkan lampu depan automotif laser yang dapat meningkatkan segmen LED / SSL dan usaha berterusan untuk mengembangkan sensor generasi baharu dengan pelanggan Austria, kemungkinan mendorong pertumbuhannya pada masa akan datang,” tambah MIDF. - DagangNews.com