Minetech terima kontrak RM36.8 juta naik taraf sistem kumbahan di Wilayah Ketengah, Terengganu | DagangNews Skip to main content

Minetech terima kontrak RM36.8 juta naik taraf sistem kumbahan di Wilayah Ketengah, Terengganu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Minetech Resources Bhd menerusi Coral Evergreen Sdn Bhd menerima kontrak bernilai RM36.79 juta daripada Puncak Utara Sdn Bhd bagi menaik taraf sistem kumbahan di Perbandaran Ketengah Jaya, Bukit Besi dan Seri Bandi Fasa III di Wilayah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Terengganu.

 

Menerusi kontrak itu, kumpulan itu perlu menambah baik sistem kumbahan dan infrastruktur berkaitan di kawasan Ketengah Jaya, Bukit Besi dan Seri Bandi.

 

"Projek itu bermula pada 29 Julai 2024 dan dijangka siap sepenuhnya pada 13 Jun 2027," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pengerusi Eksekutif Minetech, Abang Abdillah Izzarim Abang Abdul Rahman Zohari berkata, pihaknya berbesar hati memperoleh kontrak itu dan projek itu bukan sahaja mengukuhkan portfolio mereka tetapi juga menaikkan kredebiliti kumpulan di dalam industri itu.

 

minetech
Abang Abdillah Izzarim Abang Abdul Rahman Zohari

 

Beliau berkata, memandang ke hadapan, Minetech akan terus mendapatkan projek utama secara aktif dan mengembangkan jejak dalam sektor infrastruktur, termasuk kejuruteraan awam dan rawatan air. 

 

"Kami juga tidak sabar untuk meneroka peluang masa depan di Sarawak, di mana kami menyasarkan untuk memacu pertumbuhan dan memberikan hasil yang positif.

 

"Minetech juga mengharapkan kerjasama positif dengan Puncak Utara bagi memacu projek ke arah penyiapan tepat pada masanya dan menetapkan penanda aras baharu dalam segmen infrastruktur," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Minetech telah secara aktif mengembangkan portfolio dan pada Julai 2024 sahaja, mereka memperoleh dua kontrak berjumlah RM20.15 juta iaitu projek daripada MyVilla Development Sdn Bhd, anak syarikat Mah Sing Group Bhd, untuk menaik taraf dan pembinaan jalan luar dan sistem perparitan di Mukim Batu, Kuala Lumpur, dan kontrak untuk kerja-kerja jalan dan perparitan di Bandar Perindustrian Banting di Kuala Langat, Selangor.  - DagangNews.com