Minggu Saham dikekalkan secara acara tahunan digital | DagangNews Skip to main content

Minggu Saham dikekalkan secara acara tahunan digital

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]


 

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan mengekalkan adaptasi digital Minggu Amanah Saham Malaysia (MSAM) sebagai acara tahunan. 

 

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr. Zeti Aziz berkata, pihaknya kini dalam proses untuk mengenal pasti waktu terbaik bagi melaksanakan acara tahunan itu. 

 

zeti aziz
Zeti Aziz

 

“Berdasarkan pengalaman ini, kami akan terus menambah baik program dan melakukan lebih baik,” katanya dalam sidang akhbar secara maya selepas Majlis Pelancaran Minggu Saham Digital (MSD) hari ini.

 

MSD yang julung kalinya dilancarkan secara digital berikutan penularan COVID-19 dirasmikan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan turut dihadiri oleh Presiden merangkap Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn.

 

Ketika menyampaikan ucapan perasmian, Tengku Zafrul menyeru untuk menerapkan disiplin dalam menguruskan kewangan serta menceburi pelaburan. 

 

“Terdapat pelbagai instrumen mudah seperti amanah saham dan simpanan persaraan yang boleh menjana pulangan tinggi dengan simpanan yang ada dan disiplin yang tinggi dalam tempoh pelaburan yang kita tetapkan. 

 

tengku zafrul
Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz

 

“Ketidaktentuan COVID-19 ini memerlukan kita untuk lebih peka terhadap pengurusan kewangan yang mampan, bagi negara, perniagaan dan juga individu.  Realitinya, tujuh daripada 10 golongan bekerja sendiri mempunyai simpanan kurang sebulan, mengikut data Jabatan Statistik Negara.

 

“Harapan saya dengan Minggu Saham Digital ini adalah agar usaha ini menjadi tarikan kepada para pengunjung dalam talian, khususnya golongan belia dan remaja,” katanya.

 

MSD meneruskan objektif MSAM, bertujuan mendidik dan meningkatkan pemahaman masyarakat tentang kepentingan menyimpan dan melabur dalam format hibur didik, sambil mempamerkan portfolio syarikat-syarikat pelaburan PNB dan operasi perniagaan mereka.

 

MSD bersiaran setiap hari dari pukul 12.30 tengah hari hingga 10.30 malam bermula 18 hingga 24 November 2020 melalui laman Facebook dan saluran YouTube rasmi MSD. 

 

Penonton dapat menyaksikan pelbagai program hibur didik dengan topik-topik kewangan, pelaburan, keusahawanan dan ekonomi, seperti Cikgu CEO, Makan Dulu, Sembang-Sembang ASNB dan ASB-Iclif MBA Masterclass Series.

 

Sepanjang minggu, MSD juga mengadakan sesi Khidmat Nasihat 1-1 untuk orang awam dan pemegang unit untuk mengetahui lebih lanjut tentang pelaburan mereka. Konsultasi peribadi selama 30 minit ini akan diadakan menerusi Google Meet. Temu janji boleh dibuat di laman mikro MSD.

 

Peserta MSD berpeluang memenangi hadiah-hadiah bernilai lebih RM500,000 termasuk sebuah Ford Ranger 2.0L XLT Plus 4WD (10AT), sebuah Toyota Vios 1.5 G (AT), sebuah motosikal Yamaha R25, lapan motosikal Honda Dash 125 S, wang tunai menerusi aplikasi mudah alih pelaburan mikro Raiz, dan sebuah Perodua Aruz 1.5 AV (AT).  -  DagangNews.com