MMHE diunjur catat keputusan positif pada suku akan datang dipacu pengiktirafan buku pesanan lebih baik - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

MMHE diunjur catat keputusan positif pada suku akan datang dipacu pengiktirafan buku pesanan lebih baik - RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Mei - RHB Investment mengunjurkan Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MMHE) mencatatkan keputusan lebih baik pada suku tahun akan datang hasil daripada pengiktirafan buku pesanan yang lebih kukuh.

 

Katanya, sehingga suku pertama 2024, kumpulan itu memiliki buku pesanan berjumlah RM5.4 bilion dengan beberapa projek sedang dilaksanakan seperti Jerun, Rosmari-Marjoram dan Kasawari pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) Kasawari, serta projek pembangunan medan Kawasan Pembangunan Bersama (JDA). 

 

Firma penyelidikan itu berkata, fabrikasi platform arus terus voltan tinggi (HVDC) pencawang luar pesisir (OSS) untuk program ladang angin luar pesisir TenneT 2GW dijangka bermula pada FY25.

 

RHB Investment berkata, kumpulan itu mempunyai buku tender bernilai sehingga RM7 bilion dengan 50% daripadanya adalah pekerjaan antarabangsa dan baki adalah bagi pekerjaan domestik dengan bidaan tertumpu kepada ladang angin.  

 

"Berdasarkan pesanan sedia ada, kumpulan itu dijangka memperoleh projek bersaiz lebih kecil.

 

ARTIKEL BERKAITAN: MMHE catat peningkatan untung bersih hampir 3 kali ganda kepada RM10.4 juta pada 1QFY24
 

"Penggunaan dok kering menyaksikan peningkatan berikutan permintaan yang lebih tinggi untuk perkhidmatan dan pembaikan. Kadar penggunaan dok kering keseluruhan diunjurkan lebih daripada 70%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan MMHE pada 1QFY24 menurun 15% dari suku tahun ke suku tahun kepada MYR984.5 juta disebabkan pengebilan projek yang lebih rendah daripada bahagian kejuruteraan berat. 

 

Katanya, keuntungan operasi segmen menyusut 96% kepada RM300,000 selaras dengan hasil yang lebih rendah dan seterusnya dipengaruhi oleh ketiadaan tuntutan pemulihan kos yang terdapat pada suku sebelumnya.

 

"Segmen marin bagaimanapun Berjaya mengimbangi keadaan itu selepas mencatatkan peningkatan tujuh kali ganda dalam keuntungan operasi kepada RM13.8 juta berbanding RM2 juta," katanya.

 

RHB Investment mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 60 sen sesaham.- DagangNews.com