MMHE raih kontrak bernilai RM1.4 bilion daripada Carigali-PPTEPI | DagangNews Skip to main content

MMHE raih kontrak bernilai RM1.4 bilion daripada Carigali-PPTEPI

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Feb - Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad (MMHE) menerusi anak syarikatnya, Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn. Bhd. berjaya memperoleh kontrak daripada Carigali-PTTEPI Operating Company Sdn. Bhd. (CPOC) dengan nilai anggaran RM 1.4 bilion.

 

Menerusi kontrak itu, kumpulan itu akan melaksanakan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pemasangan (EPCI) lima platform kepala telaga, lima saluran paip dasar laut dan kerja-kerja pengikat hos.

 

Kontrak EPCI adalah untuk Projek Pembangunan Padang Kawasan Pembangunan Bersama (JDA) (Fasa 6) yang terletak di Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (MTJDA).

 

Skop kerja kontrak melibatkan pembinaan lima platform kepala telaga dengan berat purata 2,000 tan metrik iaitu ADC, ADD, ADE, JKC dan JKD, termasuk kerja-kerja pada saluran paip dasar laut yang berkaitan dan naik taraf telekomunikasi.

 

Setelah siap, platform akan dipasang di kedalaman air antara 55 meter dan 65 meter, di kawasan di bawah B-17-01 di selatan Teluk Thailand dan Malaysia.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Pandai Othman berkata, kontrak itu adalah bukti rekod cemerlang syarikat dan ia akan mengukuhkan kepakaran kami dalam melaksanakan projek itu.

 

Beliau berkata, projek itu merupakan kejayaan ketiga mereka selepas meraih dua projekdalam tempoh setahun lalu iaitu projek Rosmari-Marjoram dan Kasawari Carbon Capture & Storage (CCS) masing-masing daripada Shell dan Petronas.

 

"Perkembangan itu menandakan pemulihan industri minyak dan gas di rantau ini selepas tempoh kelembapan akibat wabak itu.

 

"Kami bersedia dengan prospek akan datang dengan mengaktifkan semula East Yard sebagai usaha untuk memenuhi permintaan akan datang," katanya.

 

Beliau berkata, bagi penyediaan penyelesaian optimum kepada pelanggan, pihaknya akan meningkatkan kemahiran selain mengukuhkan kedudukan sebagai antara penyedia perkhidmatan terbaik di rantau ini disokong kemajuan teknologi pendigitalan dan automasi.

 

"Kami berbesar hati kerana diamanahkan dengan projek yang begitu penting daripada CPOC dan menyumbang kepada kejayaan hubungan diplomatik yang berkekalan antara Thailand dan Malaysia," katanya. - DagangNews.com