MN Holdings raih kontrak sistem pengagihan gas asli di Tanjung Malim bernilai RM20.2 juta | DagangNews Skip to main content

MN Holdings raih kontrak sistem pengagihan gas asli di Tanjung Malim bernilai RM20.2 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 April - MN Holdings Berhad menerusi anak syarikatnya, Mutu Nusantara Sdn. Bhd. memperoleh kontrak daripada Rentak Segar Sdn. Bhd. untuk projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) sistem pengagihan gas asli di Tanjung Malim, Perak bernilai RM20.2 juta.

 

Mutu Nusantara telah dilantik sebagai sub-kontraktor projek ini dan akan bertanggungjawab untuk reka bentuk kejuruteraan, perolehan bahan, alat ganti dan bekalan, penyediaan peralatan pembinaan, serta ujian dan pentauliahan.

 

Kumpulan itu berkata, tempoh projek adalah antara April 2023 dan Februari 2025.

 

Kontrak EPCC juga akan meningkatkan kadar tempahan tertunggak semasanya kepada RM352.9 juta, dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23), FY24 dan FY25.

 

Bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2022 (2QFY23), keuntungan bersihnya meningkat sedikit kepada RM2.58 juta daripada RM2.51 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya manakala hasil suku tahunan meningkat 57.27% kepada RM41 juta daripada RM26.07 juta dalam 2QFY23 sumbangan daripada segmen kejuruteraan pencawangnya.

 

Untung bersih bagi 6MFY23 bagaimanapun, turun 20.92% kepada RM3.78 juta daripada RM4.78 juta setahun sebelumnya disebabkan peningkatan perbelanjaan pentadbiran dan penurunan dalam pendapatan lain. 

 

Perolehannya meningkat 36.75% kepada RM68.06 juta berbanding RM49.77 juta pada 2022.

 

Pengarah Urusannya, Loy Siong Hay berkata, portfolio kumpulan itu terus berkembang dengan kontrak baharu itu dan ia menunjukkan kemajuan berterusan dalam strategi perniagaan bagi mengembangkan segmen pelanggan mereka.

 

"Kami akan terus bekerja keras untuk mengekalkan momentum pertumbuhan kami dan mengembangkan kadar tempahan kami dan kontrak itu mengukuhkan lagi kedudukan kami dalam projek pengedaran gas di Malaysia," katanya. - DagangNews.com