Modul tahap 1 IBFIM tingkat kesedaran risiko kewangan berkaitan iklim | DagangNews Skip to main content

Modul tahap 1 IBFIM tingkat kesedaran risiko kewangan berkaitan iklim

 Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 4 Mac. - Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) melancarkan modul tahap 1 yang dibangunkan oleh Ernst & Young dengan kerjasama JC3 dan dibiayai oleh kerajaan United Kingdom di bawah ‘Program Low Carbon Energy Programme’ (LCEP). 

 

IBFIM yang merangkap sebagai ahli Pemerhati Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (Joint Committee on Climate Change, JC3) memberitahu, modul tersebut kini dapat dilayari secara percuma melalui laman web IBFIM di pautan
https://ibfimonline.com.

 

Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM, Yusry Yusoff berkata, modul tahap 1 itu dijangka dapat memberi pengetahuan dan pemahaman yang lebih mendalam mengenai risiko kewangan dimana objektif utamanya adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai perubahan iklim dan langkah-langkah yang harus diambil di dalam sektor kewangan. 

 

"Di dalam mendukung mandat pembangunan kapasiti, IBFIM sebagai ahli ‘United Nations Sustainable Development Solutions Network’ (SDSN) Malaysia, sentiasa komited bagi memperkukuhkan pengetahuan masyarakat untuk mengelola risiko berkaitan iklim dan penghijauan sektor kewangan

 

"Ini dilakukan dengan menyediakan landasan pembelajaran yang sesuai bagi mereka memperolehi pengetahuan yang lebih mendalam di dalam mengurus risiko-risiko tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

 

JC3, yang diterajui oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bertujuan mengambil tindakan kolaboratif bagi membina keupayaan menangani perubahan iklim dalam sektor kewangan Malaysia. 

 

Tambah beliau lagi, dalam menyokong usaha JC3 di dalam pembangunan kapasiti, IBFIM yakin bahawa landasan pembelajaran yang dapat di layari secara jarak jauh itu mampu meningkatkan lagi kesedaran semua golongan masyarakat tentang risiko perubahan iklim dan kesan terhadap sektor kewangan. 

 

Berdasarkan tinjauan yang dilakukan oleh EY Malaysia, lebih daripada 90% syarikat mendapati bahawa cuaca melampau adalah risiko kepada perniagaan.

 

Situasi tersebut dianggarkan memberi kesan kewangan untuk risiko yang berkaitan dengan iklim adalah pada AS$250 bilion iaitu melibatkan kemerosotan atau penghapusan aset hasil dari risiko peralihan dan fizikal.

 

"Adalah sangat penting bagi sektor kewangan untuk mengimbangi diantara tiga aspek iaitu keperluan manusia, bumi dan keuntungan serta menangani cabaran bagi memastikan kelestarian ekosistem yang akan membawa manfaat berterusan kepada faedah biodiversiti. 

 

"Oleh itu, adalah menjadi harapan IBFIM bahawa landasan pembelajaran digital ini akan menjadi pemudahcara bagi Agenda JC3 dalam mengurangkan risiko yang ketara dan kesan sistemik yang dapat mempengaruhi kelestarian alam sekitar," jelas beliau lagi. - DagangNews.com