KUALA LUMPUR 19 Julai - Kementerian Kewangan (MOF) sedang melaksanakan satu kajian untuk menyediakan inisiatif pelaksanaan Syarat bagi Perubahan Harga (VOP) bagi item atau bahan binaan dalam kontrak kerja kerajaan yang menerima impak kenaikan kos secara ketara berikutan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung Malaysia.
Katanya, pelaksanaan itu dipengaruhi oleh kenaikan kos akibat subsidi diesel disasarkan di Semenanjung Malaysia.
Kementerian itu menyatakan kerajaan menerima aduan dan kebimbangan daripada kontraktor dan industri pembinaan berkaitan isu itu.
Ia menyatakan, penggunaan diesel dalam industri pembinaan sebelum pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) adalah pada kadar harga komersial tanpa subsidi.
Pelaksanaan SKDS berikutan perutusan Perdana Menteri pada 21 Mei 2024, yang telah bersetuju ke atas penyasaran subsidi diesel berkuat kuasa pada 10 Jun 2024 di Semenanjung Malaysia.
Penyasaraan subsidi itu melibatkan 10 jenis kenderaan diesel pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan diesel pengangkutan barang darat di bawah SKDS.
"Tiada cadangan untuk menambah bilangan kenderaan yang diberikan diesel bersubsidi," kata MOF dalam maklum balas bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Khamis.
Kementerian itu memberi maklum balas kepada Wong Shu Qi (Pakatan Harapan-Kluang) berhubung pemberian subsidi diesel kepada kontraktor G1, G2, dan G3 terlibat dengan kerja tanah dan elektrik.- DagangNews.com