Mohd. Aznan ketuai operasi syarikat Signature Market untuk masuki bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Mohd. Aznan ketuai operasi syarikat Signature Market untuk masuki bursa Malaysia

Mohd. Aznan dilantik untuk mengetuai operasi Signature Market bagi membolehkan syarikat itu mencerahkan laluan ke bursa Malaysia.

 

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Nov - Kedai gaya hidup sihat dalam talian, Signature Market mengumumkan pelantikan bekas Ketua Komersial Pos Logistics Berhad, Mohd. Aznan Aziz bagi mengetuai operasi syarikat itu dalam usaha untuk memasuki bursa saham Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Signature Market, Edwin Wang berkata, pihaknya percaya Mohd. Aznan memiliki pengalaman luas dalam industri logistik dan industri barangan pengguna serta keselamatan makan dan ia bersesuaian dengan hala tuju syarikat itu.

 

"Operasi harian yang efisien sangat penting untuk kami dan ia menjadi lebih penting buat masa sekarang kerana kami mahu tawaran awam permulaan (IPO) bagi menguasai pasaran yang lebih luas.

 

"Menerusi kecekapan operasi, kami akan memastikan pelanggan berpuas hati dengan kualiti produk, harga dan jangka masa penghantaran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mohd. Aznan berkata, tumpuan utamanya buat masa sekarang adalah untuk menjaga kepuasan pelanggan, menggembirakan pemegang saham dan pada masa sama memastikan pekerja kekal bermotivasi.

 

"Buat masa sekarang hanya 37% pelanggan kami menerima produk pada hari berikutnya dan saya mahu memastikan 80% pelanggan menerima produk mereka pada keesokan jari menjelang Julai tahun hadapan menerusi pengenalan sistem Perancangan Sumber Perusahaan.

 

market
Ketua Operasi Siganature Market, Mohd. Aznan Aziz

 

"Kami akan memastikan kualiti produk kekal konsisten, inventori berada dalam keadaan baik selain pembaziran sifar di bahagian pengeluaran," katanya.

 

market 2

 

Sementara itu, Mohd. Aznan berkata, Signature Market juga telah menyediakan dua mesin pembungkusan automatik untuk meningkatkan produktiviti dan ia dijangka akan menyingkatkan masa pembungkusan antara empat ke 10 kali ganda berbanding kaedah manual.

 

Katanya, usaha penambah baikan kos logistik sedang dilakukan terutama melibatkan penghantaran ke Sabah dan Sarawak

 

"usaha ini dijangka mampu mengurangkan perbelanjaan logistik antara 15 hingga 20%," katanya.-Dagangnews.com