KUALA LUMPUR 22 Mac - Maxis hari ini mengumumkan bahawa Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda telah memutuskan untuk mengundurkan diri dari jawatannya sebagai Pengerusi Lembaga Maxis Berhad (Maxis) berkuatkuasa pada 22 April 2021, setelah Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) berakhir. Beliau telah berkhidmat sebagai Pengerusi Maxis sejak penyenaraiannya di Bursa Malaysia pada tahun 2009.
Lembaga Pengarah telah melantik Tan Sri Mokhzani bin Tun Mahathir untuk menggantikan Raja Arshad. Beliau kini berkhidmat sebagai Pengarah Bebas Kanan Lembaga. Sementara itu, Raja Arshad akan terus berkhidmat sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Maxis.
“Ini adalah suatu penghormatan untuk berkhidmat sebagai Pengerusi Maxis selama 11 tahun, bekerjasama dengan ahli lembaga pengarah yang lain dalam membimbing Syarikat dalam transformasinya dari pemain mudah alih terkemuka kepada penyedia penyelesaian terpadu terkemuka di negara ini.
"Saya bangga dengan apa yang telah kami capai dan bagaimana kami terus melayani pelanggan dan pihak berkepentingan yang kami hargai dalam persekitaran digital yang berkembang pesat. Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada Lembaga Pengarah, pengurusan dan warga Maxis yang telah memberi sokongan yang begitu padu yang akan saya hargai selama-lamanya,” kata Raja Arshad.
Sementara itu, Mokhzani berkata, sebagai penyedia penyelesaian terpadu yang terkemuka, Maxis akan memainkan peranan penting dalam memajukan kesalinghubungan dan agenda digital negara.
"Kami berada di masa yang mengujakan di Maxis. Saya menantikan peranan baru saya dan juga untuk bekerjasama dengan Lembaga Pengarah, pengurusan serta warga Maxis memandangkan kami kini mempercepat cita-cita pertumbuhan jangka panjang kami,” kata beliau.
Mokhzani kini mempengerusikan Jawatankuasa Audit dan Risiko Maxis dan juga merupakan anggota Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan serta Jawatankuasa Hal Ehwal Kerajaan dan Kawal Selia. Beliau akan melepaskan peranannya sebagai Pengarah Bebas Kanan dan Pengerusi Jawatankuasa Audit dan Risiko sejurus selepas AGM pada 22 April 2021.
Setelah memulakan kerjaya profesionalnya sebagai jurutera luar pesisir dengan Sarawak Shell Berhad, Mokhzani menceburkan diri dalam sektor pembuatan komponen, perkhidmatan minyak dan gas, kewangan dan penjagaan kesihatan.
Pengalaman korporatnya yang lalu merangkumi jawatan eksekutif utama di Pantai Holdings Berhad, THB Industries Berhad, Tongkah Holdings Berhad, Kencana Petroleum Bhd selain menjadi pengasas bersama SapuraKencana Petroleum Berhad.
Pada masa ini, portfolio pelaburannya melalui Kencana Capital Sdn Bhd merangkumi perniagaan dalam bidang IT, harta tanah, pertanian dan industri makanan dan sektor automotif.
Mokhzani aktif dalam sukan permotoran, dan berkhidmat sebagai Pengerusi Sepang International Circuit Sdn. Bhd., yang menjadi tuan rumah FIA Formula One World Championship selama 13 tahun hingga 2017. Beliau kini merupakan Presiden Persatuan Motorsports Malaysia, yang merupakan badan pengesahan FIA dan FIM untuk semua sukan permotoran di Malaysia. Beliau merupakan lulusan Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Petroleum dari University of Tulsa, Oklahoma di A.S.
Kepentingan 62% dalam Maxis Berhad adalah dipegang secara tidak langsung oleh Binariang GSM Sdn Bhd, di mana Syarikat Saudi Telecom mempunyai kepentingan 25%, dan baki 75% dimiliki oleh Harapan Nusantara Sdn Bhd, Usaha Tegas Sdn Bhd dan syarikat bersekutu. - DagangNews.com