Momentum jualan Avaland pada 2024 diunjur kukuh didorong pelancaran projek dengan GDV RM1.4 bilion | DagangNews Skip to main content

Momentum jualan Avaland pada 2024 diunjur kukuh didorong pelancaran projek dengan GDV RM1.4 bilion

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Mac - Momentum jualan Avaland Bhd dijangka kekal kukuh pada tahun ini didorong pelancaran projek besar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.4 bilion.

 

Phillip Capital berkata, jangkaan itu merangkumi jualan Amika Residences (RM452 juta), Anja Bangi (RM563 juta), dan Aetas Seputeh (RM365 juta). 

 

Katanya, pengurusan menyasarkan kadar pengambilan minimum 50% untuk pelancaran itu, diterjemahkan kepada sasaran jualan dalaman sebanyak RM700 juta.

 

"Bagi mengekalkan pendapatannya selepas 2025, pihak pengurusan sedang giat mencari peluang bagi meningkatkan bank tanah mereka di Lembah Klang.

 

"Kami mengunjurkan keuntungan dua tahun kadar pertumbuhan tahunan berkompaun (CAGR) sebanyak 29% sepanjang 2023 hingga 2025 didorong oleh jualan yang belum dibilkan sebanyak RM863 juta dengan keterlihatan hasil sehingga 2025," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu mengakhiri 2023 dengan untung bersih teras sebanyak RM63 juta disokong hasil sebanyak RM608 juta.

 

Katanya, sebahagian besar prestasi itu didorong kemajuan pembinaan yang lebih baik sejajar dengan hasil yang lebih tinggi, margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat 19.5% hasil kecekapan operasi.

 

"Kumpulan itu juga berjaya  mengurangkan jumlah pinjamannya daripada AyalaLand sebanyak 52% berbanding 2021 yang menghasilkan penjimatan kos kewangan yang ketara yang membantu memacu keuntungan yang lebih tinggi.

 

"Kami menetapkan harga wajar (FV) 50 sesaham dan kumpulan itu tidak memiliki dasar dividen rasmi kerana tumpuan utama adalah pada pengisian semula bank tanah dan mengurangkan pinjaman daripada Ayalaland," katanya. - DagangNews.com