Momentum pasaran terus kukuh, saham KLK, Sime Darby Plantation bantu lonjak KLCI | DagangNews Skip to main content

Momentum pasaran terus kukuh, saham KLK, Sime Darby Plantation bantu lonjak KLCI

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Bursa tempatan meneruskan momentum kukuh ketika mengakhiri dagangan hari ini meskipun masih bergelut dengan lonjakan jangkitan harian COVID-19 yang kekal tinggi dan kemelut politik.

 

Setelah dibuka rendah pagi ini pada 1,519.90 mata dengan merosot 3.69 mata, indeks utama FBM KLCI bagaimanapun ditutup tinggi dengan menokok 1.65 mata atau 0.11% kepada 1,525.24 mata. 

 

Pasaran menyaksikan 3.8 bilion saham diniagakan bernilai RM2.2 bilion dengan kaunter rugi mengatasi untung pada 472 berbanding 436. Sebanyak 458 kaunter tidak berubah manakala 833 tidak diniagakan. 

 

Persoalan mengenai pengganti Tan Sri Muhyiddin Yassin masih lagi menjadi tanda tanya meskipun Istana Negara telah mengarahkan semua ahli Parlimen menyerahkan surat akuan sokongan kepada calon yang menjadi pilihan mereka sebelum jam 4 petang hari ini.

 

Malacca Securities Sdn. Bhd. menjangkakan sentimen pasaran akan terus berhati-hati berikutan pelabur menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu selain Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menggesa pemimpin parti untuk bekerjasama menangani COVID-19 dan masalah ekonomi.

 

Sementara itu, Reuters melaporkan pasaran Asia menyaksikan kenaikan susulan jangkitan COVID-19 yang semakin menurun di China dan aktiviti memburu saham selepas beberapa hari mencatatkan kerugian.

 

Bagi pasaran tempatan, antara saham wajaran tinggi terutama perladangan menjadi buruan pelabur antaranya, Kuala Lumpur Kepong (KLK) Bhd. ditutup 38 sen lebih tinggi kepada RM19.88 diikuti Sime Darby Plantation Bhd. menokok 11 sen kepada RM3.85

 

Saham pengeluar sarung tangan getah juga menjadi tumpuan, iaitu Top Glove Corp. Bhd. ditutup 16 sen lebih tinggi kepada RM3.93 manakala Hartalega Holdings Bhd. menokok 14 sen kepada RM7.21.

 

Kaunter aktif menyaksikan saham Sedania Innovator Bhd. mengakhiri dagangan paling rancak hari ini dengan menokok 13 sen kepada 76 sen.

 

Ini diikuti saham Appasia Bhd. naik 2.5 sen kepada 17 sen dan Dataprep Holdings Bhd. menokok 14 sen kepada RM1.23. 

 

Saham Carlsberg Brewery Malaysia Bhd. pula mendahului kaunter untung ditutup 60 sen lebih tinggi kepada RM22.10 diikuti Heineken Malaysia Bhd. naik 56 sen kepada RM22.80. 

 

Sebaliknya, Genetec Technology Bhd. mendahului kaunter rugi dengan ditutup RM1.18 lebih rendah kepada RM25.24 diikuti Nestle Malaysia Bhd. susut 50 sen kepada RM133.20.

 

Dalam pada itu, bagi pasaran kewangan, ringgit ditutup pada RM4.2330/2360 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), lebih tinggi daripada penutupan semalam, RM4.2370/2380. - DagangNews.com