KUALA LUMPUR 15 Julai - Syarikat pemula niaga teknologi kewangan Malaysia, MoneyMatch Sdn Bhd memperoleh RM18.5 juta menerusi pengumpulan dana Siri A, yang awalnya diketuai oleh Cradle Seed Ventures pada 2019 dan kini di peringkat akhir oleh KAF Investment Bank.
KAF Investment Bank menerajui bahagian kedua itu pada awal tahun ini, kata syarikat itu dalam kenyataan Rabu, lapor Bernama.
Sebagai sebahagian daripada pusingan pengumpulan dana itu, pihaknya juga memperoleh kemudahan hutang teroka di bawah Kemudahan Bantuan Pendanaan Syarikat Pemula Niaga Teknologi yang ditawarkan Malaysia Debt Ventures Bhd, tambahnya.
Menurut MoneyMatch pihaknya berhasrat memperluas operasi ke Singapura dan Hong Kong menjelang akhir 2021 di samping menyediakan dana tambahan bagi operasi di wilayah utara dan selatan Semenanjung Malaysia.
Ini didorong oleh hasrat syarikat untuk mengembangkan lagi perniagaan di peringkat domestik dan antarabangsa, jelasnya.
Syarikat pemula niaga itu telah mengumumkan ia akan menyertai perbankan digital tempatan, dengan pelbagai konsortium boleh memanfaatkan rangkaian pembayaran rentas sempadan milik penuh MoneyMatch.
MoneyMatch, ditubuhkan pada 2015 oleh bekas pegawai perbankan, merupakan antara syarikat pemula niaga teknologi kewangan yang terawal berdaftar di bawah program Sandbox Kawal Selia Teknologi Kewangan oleh Bank Negara Malaysia pada 2017.
Pada 2019, syarikat itu diberikan kelulusan sebagai pemegang lesen penuh mengikut Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang.
Sejak pencapaian tersebut, MoneyMatch berkembang pesat untuk menyediakan perkhidmatan penghantaran wang kepada lebih 20,000 pelanggan individu serta 3,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia.
Pada masa sama, operasinya diperluaskan lagi ke Australia dan Brunei dengan jumlah nilai transaksi melebihi RM2.3 bilion, sejak ia mula beroperasi. - DagangNews.com