Moratorium perlu lanjutan 3 bulan - NUBE | DagangNews Skip to main content

Moratorium perlu lanjutan 3 bulan - NUBE

J SOLOMON

ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]


KUALA LUMPUR 7 Okt. - Kesatuan Pekerja Bank Kebangsaan (NUBE) melahirkan rasa kecewa apabila kerajaan tidak melanjutkan tempoh moratorium terutama kepada kumpulan sasar B40 dan M40 yang memerlukan seperti dicadangkan sebelum ini. 

Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata, pihaknya menaruh harapan tinggi terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menangani kemelut kewangan yang dihadapi kumpulan sasar termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan tempoh moratorium dilanjutkang sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun ini. 

Katanya, bantuan moratorium secara pukul rata itu dapat menyelesaikan banyak masalah yang mengakibatkan golongan berpendapatan rendah dan PKS gagal mematuhi syarat-syarat ditetapkan pihak bank untuk memohon bantuan pembayaran pinjaman. 

"Dalam hal ini, bank tidak sepatutnya lari daripada menunaikan tanggungjawab sosial mereka kepada golongan B40 dan M40 kerana mereka merupakan pelanggan setia dan juga pekerja bank, yang turut membantu institusi kewangan merekodkan keuntungan setiap tahun. 

"PKS juga tidak ketinggalan memainkan peranan penting yang turut menyumbang kepada pencapaian cemerlang institusi perbankan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), sejumlah 98 peratus permohonan dibuat individu serta PKS untuk lanjutan moratorium bersasar pembayaran balik pinjaman yang diproses sehingga September ini, diluluskan.

Malah, pihak perbankan juga memberi jaminan bahawa penerimaan moratorium lanjutan dan fleksibiliti pembayaran balik yang disasarkan dalam tempoh tersebut tidak akan menjejaskan laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat individu dan PKS terbabit.

Bagaimanapun, Solomon berkata, pihaknya berharap Perdana Menteri dapat melakukan sesuatu dengan pihak bank bagi supaya moratorium itu dapat dilanjutkan sebagaimana kerajaan menangani Krisis Kewangan Asia sekitar 1998. 

"Bank perlu membalas budi dengan menyediakan moratorium pukul rata ini kepada B40 dan M40 serta PKS sepanjang tahun ini," tegasnya. 

Tambah beliau, bank-bank tidak akan mengalami sebarang kerugian jika melaksanakan langkah ini, kerana ia dilakukan bagi menangani impak pandemik COVID-19. - Dagangnews.com