MOSTI fokus tiga bidang utama tahun ini termasuk pembangunan ekosistem EV | DagangNews Skip to main content

MOSTI fokus tiga bidang utama tahun ini termasuk pembangunan ekosistem EV

KUALA LUMPUR 25 Jan - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan memberi fokus kepada tiga bidang utama iaitu kenderaan elektrik (EV), sekuriti kesihatan negara dan inovasi sosial pada tahun ini.

 

Fokus berkaan adalah selari dengan tema 'Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi'.

 

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, fokus terhadap EV adalah bertujuan meletakkan Malaysia sebagai pengeluar teknologi EV terutamanya kenderaan elektrik dua roda yang dibangunkan pengusaha tempatan.

 

Selain itu katanya, teknologi EV juga adalah mesra alam sekitar dan memberikan impak positif keapda negara.

 

"Antara langkah yang diambil adalah pembangunan dan pengkomersialan ekosistem teknologi EV tempatan bersama syarikat pemula dan industri kecil sederhana (IKS), menerusi program 'Enabling Mobility Electrification for Green Technology' (Emerge) yang diterajui NanoMalaysia Bhd," katanya pada Majlis Amanat 2022 MOSTI, hari ini lapor Bernama.

 

Selain itu, Program Inisiatif Teknologi Penyimpanan Tenaga NanoMalaysia (NESTI) iaitu platform perintis peringkat kebangsaan turut diperkenalkan bagi membangun dan mengkomersialkan sistem penyimpanan tenaga untuk mobiliti elektrik, kegunaan di dalam sektor domestik dan industri serta penyelesaian mudah alih.

 

mosti
Datuk Seri Dr. Adham Baba

 

Mengenai sekuriti kesihatan negara, beliau berkata bagi tahun 2022, Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) akan memainkan peranan yang lebih besar dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) vaksin serta turut membabitkan kerjasama dengan rakan strategik tempatan dan antarabangsa.

 

Katanya, MGVI turut menerajui pengesanan pemantauan genom, pemindahan teknologi serta perkongsian data yang semakin kritikal dalam membantu pelaksanaan usaha pengawalan wabak penyakit seperti COVID-19. - DagangNews.com