KUALA LUMPUR 19 Sept - Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank) menyediakan Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit 2.0 (TSPKS 2.0) bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil sawit.
Skim tersebut menawarkan RM14,000 sehektar bagi pekebun kecil sawit di Semenanjung, manakala RM18,000 sehektar kepada pekebun kecil sawit persendirian di Sabah dan Sarawak dengan tempoh pembiayaan selama 12 tahun.
Bagi memudahkan peminjam, bayaran semula ansuran skim itu hanya bermula pada bulan ke-49 dari tarikh pinjaman.
Menurut MPOB, inisiatif TSPKS 2.0 bertujuan untuk menyediakan kemudahan kewangan bagi membantu pekebun kecil sawit menanam semula pokok sawit tua dan mengembalikan daya produktiviti mereka.
"TSPKS 2.0 juga berkonsep geran padanan di mana jumlah bayaran semula kepada Agrobank adalah 50% daripada jumlah keseluruhan pembiayaan yang disalurkan.
"Sejak dilaksanakan pada awal tahun 2024, MPOB telah menerima sejumlah 1,996 permohonan Skim TSPKS 2.0 meliputi keluasan 6,723.89 hektar milik pekebun kecil sawit.
"Sehingga 13 September 2024, hampir separuh daripada peruntukan telah diluluskan dengan jumlah nilai pembiayaan sebanyak RM45.25 juta," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas tentang kos penananam semula, Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, pekebun kecil sawit memerlukan modal yang besar untuk bekalan anak benih sawit, penyediaan dan penyelenggaran kebun.
"Pekebun kecil sawit sukar menyediakan sejumlah wang sekali gus, inisiatif TSPK 2.0 akan memberi manfaat kepada pekebun kecil melaksanakan tanaman semula sawit bagi meningkatkan pendapatan hasil ladang sawit,” ujar beliau.
Dalam pada itu, MPOB juga menawarkan Skim Pembiayaan Mudah Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS), Skim Insentif Integrasi Ternakan Dengan Sawit (ITe) dan Skim Insentif Integrasi Tanaman Dengan Sawit (ITa) bagi menampung jurang kapasiti kewangan yang dialami oleh pekebun kecil sawit.- DagangNews.com