MPOB cipta teknologi pemunggahan buah sawit yang lebih pantas | DagangNews Skip to main content

MPOB cipta teknologi pemunggahan buah sawit yang lebih pantas

 

 

KUALA LUMPUR 19 Ogos – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mencipta teknologi pemunggahan buah tandan segar di ladang yang lebih pantas sekali gus mampu mengelakkan kerosakan kepada buah sawit.

 

Teknologi berupa alat pengangkat mudah alih untuk operasi pemunggahan buah sawit ke dalam lori itu dibangunkan sekumpulan penyelidik MPOB diketuai Mohd Ramdhan Mohd Khalid dilancarkan semasa Seminar dan Pameran Pemindahan Teknologi MPOB 2021 baru-baru ini.

 

Ia terdiri daripada rekaan casis serta sistem hidraulik untuk menerima muatan daripada jentera pengangkut bersaiz kecil di ladang. 

 

Pek kuasa hidraulik dikuasakan oleh bateri 24V berupaya untuk mengangkat muatan buah sawit sehingga 400 kilogram. 

 

Alat ini juga mudah dipasang atau dipisahkan daripada jentera pengangkut untuk tujuan penundaan di ladang.

 

Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, menurut kajian, penggunaan alat pengangkat mudah alih ini menyumbang kepada peningkatan operasi pemindahan buah sawit ke lori hingga 35% lebih cepat berbanding dengan pemunggahan secara manual. 

 

Katanya, penggunaan alat rekaan MPOB ini dapat meningkatkan produktiviti untuk aktiviti pemunggahan buah tandar di ladang sawit. 

 

"Kaedah pemunggahan buah sawit yang lebih cekap mampu mengurangkan proses pengendalian berulang selanjutnya mengurangkan kerosakan buah sawit dan menyumbang kepada peningkatan kualiti minyak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Penyelidikan projek ini bermula pada 2017 dan telah ditawarkan untuk pengkomersialan kerana ia lebih praktikal serta membantu peningkatan produktiviti di ladang sawit. 

 

Sistem bin yang pada ketika ini digunakan dengan meluas di ladang sawit telah memberikan impak yang besar untuk aktiviti pengumpulan dan pemunggahan buah tandan segar di ladang. 

 

Sistem ini melibatkan integrasi bin dengan traktor mini-Grabber dan treler pengangkat tinggi (high-lift). 

 

Namun, sebilangan besar jentera pengangkut BTS bersaiz kecil yang diguna di ladang biasanya menurunkan muatan ke tanah dan kemudian dipindah secara manual ke dalam bin atau treler. 

 

Pengendalian buah sawit yang berulang akan melambatkan pengangkutan dan menjejaskan kualiti minyak. 
Pekerja perlu berulang kali mengangkat tandan buah sawit di atas bahu dan terdedah kepada risiko kecederaan dan keletihan jika saiz tandan buah sawit besar.

 

Sehubungan itu, menurut Ahmad Parveez, teknologi terbaharu ini dapat mengurangkan beban pekerja ladang sawit bagi aktiviti memunggah buah tandan segar. 

 

"Penggunaan jentera ladang adalah antara galakan bagi menarik minat pekerja tempatan untuk bekerja di ladang sawit. 

 

"Penggunaan peralatan yang menggunakan kuasa bateri dapat menyumbang kepada penggunaan teknologi hijau di sektor ladang sawit,” katanya.

 

Beliau memberitahu, sebuah syarikat tempatan telah tertarik untuk mengkomersialkan teknologi tersebut.

 

"MPOB kini sedang dalam proses pemindahan teknologi tersebut melalui perjanjian pelesenan. 

 

"Penglibatan pihak industri dan syarikat tempatan dalam pengkomersialan teknologi kejenteraan ladang yang dibangunkan oleh MPOB akan meningkatkan amalan mekanisasi ladang terutama bagi kerja-kerja penuaian dan pengangkutan buah sawit," jelasnya. - DagangNews.com