MPOC gesa Kesatuan Eropah iktiraf program pensijilan sawit Malaysia | DagangNews Skip to main content

MPOC gesa Kesatuan Eropah iktiraf program pensijilan sawit Malaysia

KUALA LUMPUR 16 Nov - Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) hari ini menggesa agar Parlimen Kesatuan Eropah (EU) mengiktiraf program pensijilan kebangsaan seperti skim pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sebagai langkah berkesan bagi memenuhi ketetapan Peraturan Pembasmian Hutan EU.

 

Sambil menyambut baik pindaan draf tersebut yang diumumkan, terutama dalam mengiktiraf kepentingan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pekebun kecil, MPOC bagaimanapun menggesa supaya penggubal undang-undang EU memberi lebih banyak masa bagi melengkapkan pelaksanaan peraturan itu.

 

EU telah bertindak menerbitkan Draf Resolusi Perundangan Parlimen Eropah berkaitan cadangan arahan Parlimen Eropah dan Majlis Ketekunan Wajar Kelestarian Korporat serta meminda Arahan (EU) 2019/1937 (COM(2022)0071 - C9-0050/2022 -2022/0051 atau COD).

 

Cadangan peraturan itu adalah bagi mengekang import komoditi seperti daging, koko, minyak sawit dan soya ke dalam pasaran EU yang didakwa menyebabkan berlakunya pembasmian hutan di negara pengeluar terbabit.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MPOC, Wan Aishah Wan Hamid berkata, kerajaan Malaysia sememangnya tegas dalam komitmen berkaitan pengeluaran minyak sawit secara lestari mengikut ketetapan undang-undang negara ini, pengawalan persekitaran semula jadinya serta hak kesemua mereka terbabit dalam industri tersebut.

 

“Ini dapat mengetepikan risiko syarikat yang mengimport minyak sawit Malaysia daripada keperluan menanggung liabiliti yang menjejaskan apabila berlaku sebarang perbuatan melanggar peraturan itu.

 

“Jika itu berlaku, akses terhadap keadilan telah tersedia menerusi langkah perantara dengan memfailkan aduan melalui sumber Aduan dan Rungutan MSPO,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Bernama, hari ini.

 

Wan Aishah berkata, sekiranya aduan itu dilihat wajar bagi membolehkan tindakan susulan kehakiman, kuasa penuh undang-undang Malaysia berkaitan alam sekitar dan hak asasi manusia boleh dikemukakan untuk kes terbabit.

 

Pada masa sama, beliau berkata MSPO juga dapat memenuhi keperluan berkaitan Peraturan Pembasmian Hutan tersebut.

 

MSPO telah diwajibkan menjelang 2020 kerana menyedari peningkatan permintaan global bagi minyak sawit lestari.

 

Setakat ini, 96% pengeluaran minyak sawit Malaysia termasuk kalangan pihak berkepentingan industri, PKS dan pekebun kecil telah diperakui menerusi pemilikan MSPO.

 

Tahap pensijilan itu juga adalah lebih memadai untuk memenuhi syarat-syarat Peraturan Pembasmian Hutan EU memandangkan eksport minyak sawit ke negara-negara itu adalah dilindungi di bawah MSPO serta skim sukarela pihak ketiga. - DagangNews.com