MR. DIY optimis mampu capai 100 juta transaksi tahun ini | DagangNews Skip to main content

MR. DIY optimis mampu capai 100 juta transaksi tahun ini

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Syarikat rangkaian runcit bagi produk isi rumah terbesar di Malaysia, MR. DIY Group (M) Berhad optimis untuk mencapai lebih daripada 100 juta transaksi bagi tahun 2021. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif MR. DIY, Adrian Ong yakin bahawa kumpulan berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran tersebut dengan transaksi bulanan mencecah sekitar 10 juta. 

 

Katanya, saiz pasaran Malaysia terutamanya bagi sektor runcit adalah besar dan mempunyai ruang cukup untuk pemain industri berkembang, dengan menentukan penyebut atau denominator di seluruh pangkalan pelanggan.

 

“Kami menyasarkan untuk mencapai lebih 100 juta transaksi pada tahun ini, iaitu tiga kali ganda daripada populasi negara ini. 

 

“(Sasaran ini) bukan disebabkan kami menjual item-item yang besar atau large basket (jumlah pembelian yang besar oleh pelanggan pada satu masa), tetapi kerana kami menyediakan produk keperluan harian,” katanya dalam webinar 'MIDF Conversations' yang dianjurkan secara maya hari ini.

 

Turut hadir, Pengarah Urusan Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), Datuk Charon Mokhzani sebagai moderator.

 

MR DIY
CHARON MOKHZANI (kiri) dan Adrian Ong (kanan) pada webinar 'MIDF Conversations' yang dianjurkan secara maya hari ini.

 

Setakat semalam, Charon mendedahkan bahawa MR. DIY yang ditubuhkan sejak tahun 2005 menjadi syarikat tersenarai ke-19 terbesar dari segi permodalan pasaran, menjangkaui kebanyakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan bank lain. 

 

Mengulas mengenai saiz pasaran di Malaysia, Ong berkata, MR. DIY dilihat mempunyai banyak ruang untuk mengembangkan jumlah cawangannya, yang setakat ini berjumlah lebih 800 cawangan.

 

Sebagai rekod, pada separuh pertama tahun ini (1H21), MR DIY telah membuka 93 cawangan baharu dan menyasarkan untuk membuka 175 lagi cawangan menjelang akhir tahun 2021. 

 

“Di pasaran membangun, menjadi kebiasaan untuk syarikat runcit (yang menawarkan produk isi rumah dan murah) mempunyai sebuah kedai bagi setiap 5,000 hingga 10,000 populasi. 

 

“Di peringkat pasaran tempatan, untuk MR. DIY, kami mempunyai lebih 800 cawangan yang mewakili 33 juta populasi.

 

“(Tetapi), sudah tentu setiap negara mempunyai tahap kematangan ekonomi yang berbeza, dan angka itu akan berubah mengikut keadaan,” katanya lanjut. 

 

Pada suku kedua tahun kewangan 2021 (2QFY21) berakhir 30 Jun lalu, MR. DIY menyaksikan keuntungan bersih kumpulan melonjak kepada RM82.13 juta daripada RM56.98 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu. - DagangNews.com