KUALA LUMPUR 16 Julai – Sebagai reaksi kepada rakyat Malaysia dalam tempoh PKP yang berterusan, Persatuan Rantai Runcit Malaysia (MRCA) dan Persatuan Jualan Langsung Malaysia (DSAM) telah berganding bahu mengumpulkan dana kecemasan bagi membeli bekalan makanan asas untuk keluarga yang memerlukan.
Sasaran bagi kempen ini adalah mengumpulkan RM500,000 untuk membeli 10,000 unit kotak makanan supaya dapat diedarkan kepada 10,000 keluarga di sekitar Lembah Klang yang amat diperlukan. Pengedaran kotak makanan ini telah bermula sejak 3 Julai 2021.
Setakat ini, kotak makanan telah diedarkan kepada 2,000 keluarga di 9 lokasi pengedaran termasuk PPR Pantai Ria, Kuala Lumpur; PPR Sri Sabah, Kuala Lumpur; Kampung Tasek Permai, Ampang Jaya; Kampung Labu Lanjut, Sepang; Kampung Baru Sungai Chua, Kajang; Salak Selatan Baru, Kuala Lumpur; PPR Seri Nilam, Ampang; PPR Hiliran Ampang, Kuala Lumpur; dan PPR Pandan Mewah, Ampang.
Lebih banyak lokasi sedang dikaji untuk pengedaran yang seterusnya. Setiap penerima akan menerima kotak makanan yang mengandungi beras (5kg), mi segera, bihun, sardin, kacang panggang, serbuk minuman coklat dan biskut.
Presiden MRCA, Shirley Tay berkata, ramai ahli MRCA telah mengalami kerugian yang teruk dalam jangka masa penularan wabak ini, kebanyakan mereka tidak mempunyai aliran tunai yang mencukupi untuk menahan lagi.
"Namun, kami tetap mencuba setakat kemampuan kami bersama DSAM untuk memberi sumbangan kerana kami percaya ia dapat membantu sedikit sebanyak dalam mengurangkan penderitaan rakyat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Presiden DSAM, Datuk Tan Chong Guan berkata, alam masa yang sukar ini, pihaknya memahami banyak keluarga sedang mengalami kesusahan untuk mendapatkan makanan yang mencukupi dalam kehidupan harian.
"Dengan inisiatif ini, kami bekerjasama dengan rakan niaga kami dari MRCA untuk membantu keluarga yang terjejas. Melalui pergerakan kecil ini, kami berharap untuk menolong mereka untuk melalui masa-masa yang mencabar ini,” kata beliau.
Sumbangan tunai untuk kempen ini boleh dibuat secara langsung melalui;
MRCA (No. CIMB 8600617216 atau melalui borang ini https://bit.ly/3r595cZ) Untuk maklumat lebih lanjut dari MRCA, sila hubungi Simon Wong atau Lee Choo melalui Whatsapp kepada +60 12 438 0435 atau lawati laman web MRCA www.mrca.org.my;
DSAM (No. Public Bank 3078 894 406 atau melalui borang ini https://bit.ly/2TAVpdw) Untuk maklumat lebih lanjut dari DSAM, sila hubungi Lawrence Cheah atau Feriz Mohamad melalui WhatsApp kepada + 60 19 378 7937 atau lawat laman web DSAM www.dsam.org.my untuk maklumat lanjut. - DagangNews.com