MSM meterai perjanjian eksport gula kasar ke China, sasar penghantaran 45,000 tan pada 2024 | DagangNews Skip to main content

MSM meterai perjanjian eksport gula kasar ke China, sasar penghantaran 45,000 tan pada 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Ogos - MSM Malaysia Holdings Berhad, pengeluar gula jenama Gula Prai memeterai perjanjian bagi mengeksport gula kasar ke China, yang merupakan antara lima destinasi eksport gula terbesar untuk kumpulan selepas Filipina, Singapura, Indonesia dan Vietnam.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad berkata, kejayaan penghantaran percubaan 1,000 kg gula kasar pada 2023 merupakan peristiwa penting kepada kumpulan itu. 

 

"Untuk 2024, kami mengunjurkan mengeksport 45,000 tan metrik gula kasar ke China. 

 

"MSM mempunyai sasaran 100,000 hingga 200,000 tan metrik setahun dalam jangka sederhana untuk China dengan ruang kapasiti yang tersedia dari kilang penapisan MSM Johor melalui program peningkatan yang berterusan. 

 

"Perjanjian penting ini menggariskan fokus strategik MSM pada pengembangan pasaran antarabangsa dan seterusnya mengukuhkan penerimaan kehadiran kami ke dalam pasaran China," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Hubungan perdagangan MSM dengan China bermula pada 2019 dengan pembekalan gula cair kepada perusahaan makanan dan pertanian terkemuka China. Perkongsian itu kini berkembang termasuklah eksport gula kasar. 

 

Menerusi perkongsian itu, MSM akan mengeksport gula kasar berkualiti tinggi ke China melalui China Food Trading (COFCO), mencerminkan komitmen kedua-dua syarikat terhadap kecemerlangan dan amalan mampan. 

 

Syed Feizal berkata, pihaknya berbesar hati menerima kunjungan beberapa delegasi dari China di MSM Johor sejak tahun lepas. 

 

"Lawatan itu mempamerkan kapasiti, kemudahan dan keupayaan MSM Johor sambil kami terus berusaha ke arah menjadi pusat penapisan gula bertaraf dunia, menekankan komitmen kami terhadap kualiti, kecemerlangan dan inovasi dalam industri," katanya.

 

Dengan penambahan dua gudang penyimpanan gula bertapis baharu, MSM Johor bersedia untuk mengembangkan kapasiti simpanan dalamannya, menambah fasiliti pembungkusan, dan mengurangkan pergantungan pada penyewaan gudang luar serta mencapai kecekapan kos rantaian bekalan yang lebih baik. 

 

Lokasi MSM Johor adalah geo-strategik untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat di China dan menyokong matlamatnya untuk menjadi pusat penapisan gula bersepadu termasuk menawarkan produk nilai tambah seperti gula cair dan pracampuran. 

 

MSM kini mengeksport ke 20 negara di Asia Pasifik, Asia Selatan, Asia Barat, Eropah dan baru-baru ini Amerika Utara yang memperoleh hasil eksport melebihi RM600 juta setahun dan dijangka meningkat dari tahun ke tahun. - DagangNews.com