MSM Prai kembali beroperasi, jamin pemulihan pengeluaran | DagangNews Skip to main content

MSM Prai kembali beroperasi, jamin pemulihan pengeluaran

Pada awalnya, MSM Prai diarahkan oleh Kementerian Kesihatan untuk menghentikan operasi buat sementara waktu mulai 8 hingga 17 Jun 2021 bagi melakukan proses nyahjangkitan di dalam premis yang terkesan untuk membendung penularan wabak COVID-19.

 

 

KUALA LUMPUR 16 Jun - MSM Prai Berhad (MSM Prai) kembali beroperasi 15 Jun, lebih awal berbanding jangkaan Kementerian Kesihatan setelah ditutup sementara pada 8 Jun lalu akibat kes positif COVID-19.

 

Anak syarikat milik penuh MSM Malaysia Holdings Berhad ini sepatutnya dibenarkan beroperasi pada 17 Jun dengan mematuhi prosedur operasi standard serta panduan seperti yang digariskan oleh pihak berkuasa bagi sektor industri. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad berkata, MSM Prai akan memulakan operasi penapisan secara berperingkat. 

 

Katanya, sekiranya tiada sebarang kekangan operasi yang tidak diduga, MSM Prai dijangka mencapai semula momentum pengeluaran secepat mungkin selaras dengan prestasi kebolehupayaan dan pengeluaran yang konsisten di kilang tersebut. 

 

"Kami akan terus memantau tahap operasi di samping memastikan langkah-langkah pencegahan yang lebih ketat dilaksanakan bagi memenuhi kepentingan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan para pekerja syarikat. 

 

"MSM turut membuat permohonan bagi mendapatkan keutamaan dalam program vaksinasi untuk semua pekerja dalam syarikat memandangkan MSM dikira sebagai salah satu pengeluar makanan keperluan asas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

Syed Feizal Syed Mohammad
Syed Feizal Syed Mohammad

 

 

Berdasarkan penilaian awal, impak penutupan sementara terhadap hasil dan pendapatan syarikat dianggarkan kurang daripada 5% bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.

 

Pihak syarikat juga sedang di dalam proses membuat tuntutan insuran kerugian sepanjang tempoh penutupan tersebut. 

 

Pelan mitigasi telah dilaksanakan bagi mengelakkan kekurangan bekalan serta meminimumkan gangguan rantaian bekalan melalui penstrukturan semula strategi kesinambungan perniagaan di samping menggunakan kebenaran permit bagi mengimport gula bertapis. 

 

Kapasiti pengeluaran MSM Prai kekal sebanyak 1.05 juta setahun dan bersedia untuk meningkatkan pengeluaran bagi mencapai tahap penggunaan kapasiti seperti yang disasarkan untuk tahun ini.

 

Sebelum ini, kesemua 765 petugas di premis tersebut termasuk pekerja kontrak di mana lebih 92 peratus daripadanya adalah warganegara Malaysia telah melalui ujian sariangan selama dua hari sebagai langkah pencegahan proaktif. 

 

Semua 8 petugas yang disahkan positif telah dikuarantinkan serta-merta disusuli dengan penjejakan kontak untuk
ujian lanjut. - DagangNews.com