MSM sasar muncul antara 10 syarikat pengeluar gula bertaraf global | DagangNews Skip to main content

MSM sasar muncul antara 10 syarikat pengeluar gula bertaraf global

 

 


KUALA LUMPUR 17 Jun - MSM Malaysia Holdings Bhd. optimis untuk mencapai sasaran syarikat berdasarkan kemajuan yang progresif didokong oleh pelaksanaan strategik rangka kerja tiga tahun (BP21) dalam memperkasakan prestasi kewangan dan operasi kumpulan. 

 

Dipacu oleh margin yang kukuh, peningkatan operasi, penstrukturan semula strategi jualan dan kos kewangan yang rendah, syarikat pengeluar gula bertapis jenama Gula Prai itu mempamerkan penambahbaikan yang signifikan dengan jumlah kerugian lebih rendah pada tahun kewangan 2020.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad berkata, MSM secara berterusan sedang memanfaatkan peggunaan aset secara optimum dan kedudukan yang kompetitif yang akan menghasilkan keuntungan mampan pada masa akan datang ke arah berkembang sebagai salah satu daripada 10 pengeluar gula bertaraf global. 

 

Katanya, di sebalik pelbagai kekangan yang dihadapi, prestasi syarikat berada pada landasan yang tepat untuk mencapai pemulihan sejajar sasaran pertumbuhan jangka masa panjang. 

 

"Akan tetapi, kami akan terus kekal berwaspada disusuli pengurusan risiko yang lebih mantap dan perancangan awal berdasarkan situasi pasaran semasa dan cabaran tidak diduga di peringkat global dan tempatan yang boleh menjejaskan prestasi kumpulan," katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena Mesyuarat Agung Tahunan Ke-10 yang diadakan secara maya hari ini dengan dihadiri lebih 700 orang pemegang saham secara dalam talian.

 

Secara keseluruhan, kerugian bersih (LAT) MSM susut 76% kepada RM71.23 juta bagi tahun kewangan 2020 berbanding RM299.77 juta berbanding tahun sebelumnya. 

 

Setelah berhadapan dengan kerugian selama lapan suku berturut, MSM telah mencatatkan keuntungan bersih (PAT) sebanyak RM56.24 juta pada suku keempat 2020 berbanding LAT sebanyak RM40.28 juta bagi tempoh sama 2019.

 

Perkembangan positif ini terus membawa MSM kepada momentum pendapatan yang lebih mampan pada suku pertama 2021 dengan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM43.07 juta berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM27.25 juta pada suku pertama 2020. 

 

Syed Feizal menyifatkan, pencapaian pemulihan ini mencerminkan kecekalan syarikat selama beberapa tahun ini
dalam mengemudi perniagaan mengharungi landskap pasaran dan industri yang tidak menentu.

 

Bagi segmen domestik, MSM akan memperkukuhkan kepimpinan pasaran dengan mengimbangi strategi jualan dan rantaian bekalan. 

 

MSM turut memperoleh kontrak bekalan jualan bersama peneraju-peneraju industri FMCG utama tempatan dan menyasarkan untuk memperkasakan lagi hubungan tersebut bagi memenuhi permintaan seterusnya di rantau Asia. 

 

"Melangkah ke hadapan, MSM akan terus berdaya tahan di samping merealisasikan potensi dengan lebih pantas ke arah pelaksanaan usaha-usaha pemulihan dalam memastikan pulangan yang konsisten serta nilai pemegang saham yang lebih baik sebagai pengeluar gula bertapis premium negara," menurut beliau. 

 

Baru-baru ini, MSM telah memeterai Perjanjian Jualan Saham (SSA) bersama FGV Integrated Farming Holdings Berhad (FGVIF) bagi pelupusan MSM Perlis Sdn Bhd dengan nilai sebanyak RM175 juta, sejajar dengan usaha berterusan Kumpulan dalam melupuskan aset-aset bukan teras bagi mengurangkan jumlah gearan dan meningkatkan aliran tunai untuk pertumbuhan.

 

SSA tersebut dijangka menyumbang kepada pendapatan sebanyak RM91.6 juta. Tambahan pula, penamatan operasi di MSM Perlis memberi laluan kepada MSM untuk menyatukan kapasiti pengeluaran di MSM Johor bagi meningkatkan kecekapan operasi.- DagangNews.com