MSM tunggu keputusan kerajaan sama ada guna mekanisme apungan untuk gula atau tidak | DagangNews Skip to main content

MSM tunggu keputusan kerajaan sama ada guna mekanisme apungan untuk gula atau tidak

MSM masih menanti keputusan kerajaan bagi menentukan mekanisme terbaik bagi penetapan harga runcit gula. - Gambar/ Nor Azan Fitri
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Jun - MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) sedang menanti keputusan kerajaan sama ada akan menggunakan mekanisme apungan atau kaedah kawalan harga siling sedia ada bagi menentukan harga gula.

 

Harga gula dijangka meningkat sehingga RM1.50 sekiranya kerajaan menggunakan mekanisme apungan berbanding harga kawalan RM2.85 sekilogram ketika ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM), Syed Feizal Syed Mohammad, berkata harga gula akan ditentukan kerajaan dan akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

"Sekiranya mekanisme apungan digunakan, harga gula akan menjadi seperti harga tepung ketika ini dengan penetapan harga bergantung kepada pasaran global.

 

"Kerajaan terbuka dengan mekanisme apungan tetapi sebarang keputusan bergantung kepada maklum balas rakyat," katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MSM Ke-12, hari ini.

 

Syed Feizal menegaskan, walaupun kerajaan menyediakan insentif RM1 bagi setiap kilogram gula untuk segmen runcit kepada pengeluar gula, namun jumlah berkenaan tidak mencukupi untuk mengimbangi kos pengeluaran kerana industri itu memerlukan kenaikan harga bagi menampung lonjakan kos.

 

MSM
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Hasni Ahmad (kiri) Syed Feizal Syed Mohammad (dua dari kiri); Pengerusi MSM, Datuk Syed Hisham Syef Wazir (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Kewangan MSM, Dr Mazatul ‘Aini Shahar Abdul Malek Shahar semasa Mesyuarat Agung Tahunan ke-13 MSM di ibu negara pada 6 Jun 2024. 

 

"Jika dibandingkan 2023 dengan 2022, kami merekodkan peningkatan sebanyak 15% dalam kos pengeluaran disebabkan oleh kenaikan harga gula mentah dan susut nilai ringgit. 

 

"Selain itu, kos gas asli, penting untuk menjana wap dalam proses penapisan yang mewakili kira-kira 40% daripada perbelanjaan penapisan kami, melonjak sebanyak 15%," katanya.

 

Sementara itu,MSM menekankan komitmennya terhadap kecekapan dan pertumbuhan operasi, khususnya di MSM Sugar Refinery (Johor) Sdn Bhd (MSM Johor). 

 

Faktor penggunaan (UF) telah meningkat dengan ketara, sejajar dengan sasaran kecekapan dan kumpulan itu mengesahkan komitmen berterusannya kepada program peningkatan yang bertujuan untuk meningkatkan lagi produktiviti dan menurunkan kos unit.

 

"Pada 2023, kami mengeluarkan lebih daripada 992,000 tan metrik dengan penggunaan kapasiti sebanyak 48% untuk Kumpulan. Mengikut pecahan kilang penapisan, penggunaan kapasiti kilang penapisan MSM Johor sebanyak 22%, peningkatan daripada 17% pada 2022. Manakala di Prai, penggunaan kapasiti adalah 73% pada 2023.

 

Pada tahun lalu, MSM berjaya mengeksport ke lima pasaran utama iaitu Filipina, China, Singapura, Indonesia dan Vietnam. 

 

Selain daripada destinasi utama ini, MSM juga mengekalkan hubungan eksport dengan negara-negara seperti Korea Selatan, Hong Kong, New Zealand, Taiwan dan Pakistan, antara lain selain menyasarkan untuk meluaskan jangkauan pasarannya melangkaui Asia Pasifik dan Asia Selatan ke Afrika, sejajar dengan visinya untuk penembusan dan kepelbagaian pasaran global yang lebih besar. 
 

 

Sementara itu, bagi tahun kewangan 2023 (FY23), MSM merekodkan kerugian sebelum cukai (LBT) lebih kecil sebanyak RM28 juta berbanding RM179 juta pada tahun sebelumnya dengan hasil melonjak kepada RM3.09 bilion mengatasi RM2.57 bilion pada FY22.

 

MSM mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM66 juta bagi suku 1QFY24 berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM33 juta tahun sebelumnya disumbangkan margin yang lebih baik, walaupun kos pengeluaran lebih tinggi. - DagangNews.com