SAN FRANCISCO 21 Mei ― Dalam tempoh setahun, aplikasi Facebook mencatat penurunan sebanyak 30% daripada segi muat turun dari Google Play dan App Store, menurut laporan terbaru AppFigures.
Menurut firma pemantau tersebut, penurunan tersebut dikaitkan dengan dasar baru privasi yang dikuatkuasakan oleh Apple, selain peningkatan populariti TikTok.
Walau bagaimanapun, dengan lebih 2.8 bilion pengguna aktif sebulan, Facebook masih sebuah gergasi media sosial.
Namun sejak beberapa tahun ini, aplikasi ini telah mengalami suatu bentuk situasi seperti ditinggalkan, dengan ramai memilih laman rangkaian sosial lain yang lebih baharu.
Sebilangan pengguna telah menyahaktif atau memadamkan sama sekali akaun mereka. Penurunan muat turun ini berkemungkinan berpunca daripada Apple yang mengemaskini iOS 14.5, yang memerlukan aplikasi mendapatkan kebenaran pengguna untuk menjejak data mereka.
Malah, firma Amerika tersebut terpaksa meminta kebenaran pengguna untuk berbuat demikian. Dilaporkan hanya 15% pengguna mengaktifkan opsyen penjejakan.
Bagi Facebook, ia merupakan tamparan hebat kerana pengiklan yang menekankan data yang besar, merupakan penyumbang terbesar kepada kewangan syarikat.
Sebagai perbandingan, pada Mei 2020, aplikasi bergerak rangkaian sosial Mark Zuckerberg itu mencatat 15 juta muat turun seminggu. Pada April 2021, hanya 11 juta muat turun direkodkan.
Pada masa sama, Facebook sejak beberapa tahun ini telah menanggung kesan daripada tuduhan berkaitan perlindungan dan privasi data pengguna ― suatu persoalan yang utama bagi pengguna di dalam masyarakat yang semakin menjadi sulit berkongsi data mereka.
Facebook juga menanggung kesan daripada pertumbuhan pemain baharu di dalam media sosial, terutama TikTok. Peneraju baharu rangkaian sosial bagi generasi lebih muda kini menyaingi sengit dua gergasi industri iaitu Instagram dan Facebook.
Disokong oleh langkah larangan bergerak akibat pandemik COVID-19 pada 2020, TikTok kini berada di tangga pertama aplikasi paling tinggi dimuat turun bagi April 2021 (51 juta muat turun), menurut AppFigures ― terutama di dalam App Store, di mana TikTok telah dimuat turun keseluruhannya sebanyak 15.9 juta kali, berbanding 9.9 juta kali bagi Facebook. ― DagangNews.com