KUALA LUMPUR 24 Ogos - Mudah Auto, sebahagian daripada Mudah.my, telah melancarkan kempen baharunya, Jualan Aksesori Automotif Merdeka Mudah.my.
Kempen ini menawarkan diskaun eksklusif tidak kurang daripada 15% ke atas harga penyenaraian iklan aksesori kereta dan 10% untuk aksesori motosikal oleh penjual PRO Niaga ‘(pro sellers)’ di platform tersebut.
Kempen terbaharu daripada laman web ini adalah seiring dengan inisiatif berterusan #SupportLokal yang menggalakkan rakyat Malaysia untuk terus menyokong perniagaan milik rakyat tempatan dengan membantu mereka melalui tempoh yang mencabar ini.
Inisiatif #SupportLokal Mudah.my dimulakan dengan pelancaran kempen pertamanya, Ramadan Bersama Mudah pada bulan April lalu yang berjaya mencapai sebanyak 87,000 penyeneraian iklan daripada golongan peniaga profesional dan persendirian.
Kempen seterusnya, Jualan Kereta Terbesar Malaysia yang dilancarkan pada bulan Jun, menyaksikan penyertaan seramai 2,071 penjual dan 9,963 senarai iklan.
Susulan kejayaan kempen tersebut, Mudah.my kini ingin membantu rakyat Malaysia untuk membeli aksesori automotif pada harga diskaun. Memahami kadar peningkatan kos penyelenggaraan dan naik taraf kenderaan, Mudah.my memainkan peranan mereka untuk membantu rakyat Malaysia menerusi kerjasama dengan penjual PRO Niaga.
Mudah.my kini mempunyai lebih daripada 9,000 senarai iklan yang dipaparkan di platformnya bagi kempen Jualan Aksesori Automotif Merdeka Mudah.my.
Gaurav Bhasin, CEO Mudah.my berkata, kejayaan Jualan Kereta Terbesar Malaysia sebelum ini yang mengagumkan telah membantu mencetuskan idea untuk kempen ini kerana aksesori kenderaan dan penyelenggaraan alat ganti sentiasa diperlukan.
"Namun, lazimnya, alat-alat ganti ini sangat mahal. Bagi mengurangkan beban kepada rakyat Malaysia, kempen terbaharu kami ini membolehkan para pelanggan kami untuk membeli aksesori kenderaan pada harga diskaun,” tambah Bhasin.
Jualan Merdeka Automotif Mudah.my ini berlangsung dari 17 Ogos 2020 sehingga 16 September 2020. - DagangNews.com