MY5G-Ericsson Educate kini sebahagian daripada program Let’s Learn Digital MDEC | DagangNews Skip to main content

MY5G-Ericsson Educate kini sebahagian daripada program Let’s Learn Digital MDEC

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Nov - Ericsson mengumumkan penyertaan program dalam talian MY5G-Ericsson Educate sebagai sebahagian daripada program Let’s Learn Digital yang disediakan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

 

Program yang ditawarkan secara percuma itu bertujuan memperkenalkan 5G dan telekomunikasi, serta teknologi berkaitan seperti kecerdasan buatan (AI), automasi (Automation), internet kebendaan(IoT) dan pembelajaran mesin (machine learning) kepada tenaga kerja dan pelajar universiti.

 

Peserta yang berjaya melengkapkan penilaian akhir kursus akan memperoleh lencana digital daripada Ericsson. 

 

Program itu dibangunkan oleh Ericsson dengan sokongan Digital Nasional Berhad (DNB), iaitu syarikat yang diberi mandat dalam pelaksanaan rangkaian dan infrastruktur 5G Malaysia.

 

Inisiatif MY5G-Ericsson Educate ini akan menyokong dan menyumbang kepada ekonomi digital negara dan juga transformasi Industri 4.0 dengan pelajar serta pensyarah akan mendapat akses kepada sumber pembelajaran digital berkualiti yang memanfaatkan pengalaman Ericsson selama 145 tahun dalam industri telekomunikasi dan ICT. 

 

Program itu merangkumi permainan interaktif yang pernah memenangi anugerah yang mengajar sejarah telekomunikasi dan boleh dipertingkatkan dengan penggunaan set kepala VR bagi pengalaman yang lebih imersif.

 

Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hagerbro berkata, pihaknya berbesar hati dengan kerjasama strategik bersama DNB dan MDEC bagi membangunkan inisiatif itu di Malaysia dalam menyokong pelaksanaan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara. 

 

"Penyertaan MY5G-Ericsson Educate dalam program Let’s Learn Digital akan menyediakan bakat tempatan dengan kemahiran yang diperlukan untuk maju dalam ekonomi digital Malaysia yang semakin pesat. 

 

"Malaysia akan meneruskan pelaburan dalam pendigitalan dan inisiatif ini merupakan pelengkap kepada usaha kerajaan untuk membekalkan rakyat dengan pengetahuan dan kemahiran 5G agar mereka dapat memanfaatkan rangkaian 5G Malaysia sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata, pihaknya mengalu-alukan kehadiran Ericsson sebagai rakan kerjasama terbaharu dalam inisiatif Let’s Learn Digital. 

 

Beliau berkata, sumbangan yang ditawarkan juga sejajar dengan strategi dan inisiatif kebangsaan di bawah Malaysia Digital (MD), dalam memudahkan pembangunan dan pemerkasaan semula kemahiran yang diterajui industri dalam kalangan tenaga kerja. 

 

"Program MY5G-Ericsson Educate juga akan membantu memastikan bekalan tenaga kerja yang sepadan dengan keperluan masa depan ekonomi digital," katanya.

 

Pekerja dan pelajar di peringkat pengajian tinggi atau universiti yang berminat digalakkan melayari laman web MDEC Let’s Learn Digital untuk mendaftar program MY5G-Ericsson Educate. 

 

Pendaftaran dibuka sehingga 31 Disember 2022. - DagangNews.com