MyCC siasat penipuan bida berjumlah RM5.9 bilion | DagangNews Skip to main content

MyCC siasat penipuan bida berjumlah RM5.9 bilion

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menyiasat isu penipuan bida yang dianggarkan berjumlah RM5.9 bilion yang membabitkan 600 buah syarikat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Liggi berkata, penipuan tersebut melibatkan tender yang dikeluarkan kementerian, agensi kerajaan dan syarikat swasta.

"Nilai tander yang disiasat MyCC dianggarkan RM5.9 bilion.

"Isu penipuan ini menjadi tumpuan MyCC kerana setiap tahun Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, kerajaan tempatan serta badan berkanun akan memperoleh barangan dan perkhidmatan melalui tander awam bernilai lebih RM150 bilion," katanya ketika menjawab soalan Datuk Robert Lawson Chuat (GPS-Betong) dalam sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat semalam.

Alexander Nanta Liggi
Alexander Nanta Liggi

 

Datuk Robert Lawson Chuat mengajukan soalan berkaitan rancangan kerajaan untuk membendung masalah penipuan bida serta rancangan memperkasa peranan MyCC.

Robert juga menekankan persoalan dakwaan oleh Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) yang kononnya wujud kartel tender oleh kontraktor pembinaan.

Selain telah melakukan perbincangan bersama PKBM berhubung isu berkenaan, Alexander memberitahu, MyCC turut menjalankan program advokasi bagi mempertingkatkan kesedaran mengenai Akta Persaingan dan isu persaingan melalui program advokasi.

Robert Lawson Chuat
Robert Lawson Chuat

 

"MyCC percaya yang penguatkuasaan bukanlah penyelesaian total dalam isu penipuan bida. Sejak 2011 sahaja, 50 progam advokasi telah dijalankan kerjaaan, pemain industri, persatuan peniaga, badan profesional, institusi pendidikan termasuk orang awam sendiri.

"Peranan MyCC turut dilihat dengan membantu kementerian dengan memberikan input dan nasihat dasar berhubung isu persaingan," jelasnya.

Tujuh nasihat dasar yang dikeluarkan adalah berkait dengan isu meletakkan terma tender menjurus kepada jenama khusus, tender tertutup, terma tender yang memberi peluang lebih kepada pihak-pihak tertentu dan lain-lain lagi. - DagangNews.com