MyCIF labur bersama RM289 juta pacu pertumbuhan, tingkatkan daya saing PMKS pada 2023 | DagangNews Skip to main content

MyCIF labur bersama RM289 juta pacu pertumbuhan, tingkatkan daya saing PMKS pada 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Mei - Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF) teah membuat pelaburan bersama sebanyak RM289 juta melalui platform pembiayaan alternatif bagi memacu pertumbuhan serta meningkatkan daya saing perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) pada tahun lalu.

 

MyCIF merupakan dana pelaburan bersama yang ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan (MoF) sempena Bajet 2019 untuk melabur bersama dalam PMKS melalui platform pendanaan ramai berasaskan ekuiti (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (pembiayaan P2P). 

 

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata, MyCIF telah memacu hampir RM2 bilion pelaburan swasta melalui pelaburan sebanyak RM289 juta tahun lalu.

 

Beliau berkata, ia membuktikan peranan pentingnya dalam memupuk pertumbuhan segmen ECF dan pembiayaan P2P.

 

"Sektor pertanian menyaksikan peningkatan sebanyak 86% dalam penerbit yang disokong oleh skim pertanian MyCIF. 

 

sc
Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin

 

"Tambahan pula, MyCIF mampu mencapai kadar yang lebih tinggi bagi PMKS di luar Lembah Klang iaitu 49% daripada 40% pada tahun sebelumnya. 

 

"Ini bukti MyCIF menyokong keterangkuman dalam kalangan PMKS," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

SC berkata, sejak penubuhannya, MyCIF menerima jumlah peruntukan sebanyak RM250 juta daripada kerajaan dan berjaya melabur bersama RM930 juta dalam lebih 6,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mencapai kesan berganda sebanyak 3.7 kali.

 

Katanya, ia memperoleh RM3.82 bilion dalam pelaburan swasta, menjadikan jumlah dana yang diperoleh dengan sokongan myCIF kepada RM4.75 bilion.

 

Selain itu katanya, MyCIF telah menjana pulangan positif bersih ke atas modal berjumlah RM20.7 juta atau 8.2% daripada jumlah peruntukan daripada MOF.

 

Dengan tambahan sebanyak RM100 juta yang diperuntukkan dalam Bajet 2024 katanya, MyCIF akan terus menyokong inisiatif dalam bidang tumpuan iaitu pertanian, penjagaan kesihatan, pendidikan, alam sekitar, komuniti dan pembangunan aset wakaf melalui Majlis Agama Islam Negeri, selaras dengan agenda keterjaminan makanan dan kemampanan.

 

"Pada Hari Terbuka MyCIF baru-baru ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan turut menekankan keperluan untuk meningkatkan profil MyCIF dalam kalangan PMKS dan pelabur di peringkat nasional.

 

"Dua insentif baharu diumumkan untuk PMKS termasuk dalam segmen huluan sektor pertanian dan bioekonomi berkuat kuasa sehingga akhir 2025," katanya.- DagangNews.com