Nahas udara terburuk ATM selepas insiden Nuri di Genting Sempah 17 tahun lalu | DagangNews Skip to main content

Nahas udara terburuk ATM selepas insiden Nuri di Genting Sempah 17 tahun lalu

Helikopter HOM AW139 TLDM jenis sama yang terlibat dalam nahas di Lumut.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 23 April - Nahas membabitkan dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mencatatkan detik duka pada angkatan tersebut yang bakal menyambut ulangtahun ke-90 Sabtu ini.

 

Dua helikopter malang itu sedang melakukan lintas terbang semasa raptai perbarisan Hari TLDM di Pangkalan TLDM Lumut sebelum bertembung di udara.

 

Seminggu selepas itu, Pangkalan TLDM Lumut pula bakal menyambut Hari Terbuka Armada iaitu pada 3 hingga 5 Mei.

 

Pesawat yang terlibat iaitu helikopter AS555SN Fennec milik Skuadron 502 berpengkalan di Lumut manakala Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW139 pula dikendalikan Skuadron 503 di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

 

Helikopter
Helikopter AS555SN Fennec.

 

Skuadron 503 menghantar 2 buah pesawat HOM AW139 bersama 9 kru udara dan 11 juruteknik pesawat ke Lumut untuk menyertai lintas hormat sempena perbarisan tersebut.

 

Helikopter ini juga akan terlibat melakukan demonstrasi udara pada Hari Terbuka Armada nanti.

 

Ini merupakan nahas udara terburuk membabitkan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam tempoh 17 tahun lalu selepas insiden Nuri berdekatan Terowong Genting Sempah, Genting Highlands, Pahang.

 

Insiden 13 Julai 2007 itu mengorbankan enam kru dan juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia.

 

Helikopter
Sebahagian daripada juruterbang dan kru Skuadron 503 yang terlibat dalam penerbangan lintas hormat di Lumut.

 

Helikopter
Dua helikopter AW139 semasa berlepas dari Pangkalan TLDM Kota Kinabalu ke Lumut.

 

Nahas udara paling tragis sebelum itu pula melibatkan dua buah helikopter Nuri TUDM yang terhempas di muara Sungai Lundu, Sarawak pada 18 Disember 1989.

 

Seramai 16 terkorban termasuk Mej Jen Dato’ Mustaffa Awang yang merupakan Panglima 1 Divisyen dan Brig Jen Dato’ Hasbullah Hj. Yusof yang pada ketika itu adalah Panglima 3 Briged.

 

Helikopter AS555SN Fennec walaupun telah diguna sejak 20 tahun lalu mempunyai rekod operasi penerbangan yang cemerlang 

 

Pada Mac 2022 Skuadron 502 mencatatkan rekod 20,000 jam penerbangan tanpa sebarang nahas.

 

Helikopter
Helikopter HOM AW139 TLDM.

 

Sepanjang tempoh tersebut ia terbabit dalam pelbagai operasi termasuk tugasan semasa Ops Fajar di perairan Somalia serta pelbagai latihan.

 

Bagaimana pun, pada Jun 2021 sebuah helikopter AS555SN Fennec terpaksa melakukan pendaratan cemas ketika membuat penerbangan operasi di dalam Pangkalan TLDM Lumut, namun tiada mangsa terlibat.

 

Ini merupakan kejadian kemalangan pertama melibatkan pesawat TLDM sepanjang lebih 30 tahun penubuhan Skuadron Udara TLDM iaitu KD Rajawali yang berpangkalan di Lumut.

 

Tiga buah HOM AW139 buatan Leonardo Helicopter, Itali pula dibeli TLDM dengan peruntukan RM220 juta.

 

Helikopter
Penerbangan formasi helikopter AS555SN Fennec dan AW139 di Pangkalan TLDM Lumut pada Januari tahun lalu.

 

Helikopter

 

Model AW139 merupakan helikopter saiz sederhana yang terbaik dalam kelasnya turut digunakan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Polis Diraja Malaysia dengan lebih 900 pesawat telah dibina.

 

Helikopter ini diterima dua tahun lalu dan ditempatkan di Markas Pemerintahan Armada Timur, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

 

Skuadron 503 berperanan dalam pemantauan Zon Maritim Malaysia serta Maritime Domain Awareness (MDA), Over the Horizon Targeting (OTHT), Operasi Pasukan Khas dan latihan kru udara serta warga kapal. - DagangNews.com