NanoMalaysia, Nanopac sepakat bangunkan panel kuasa solar NLEP | DagangNews Skip to main content

NanoMalaysia, Nanopac sepakat bangunkan panel kuasa solar NLEP

Panel solar. Gambar hiasan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 23 Nov. - NanoMalaysia Berhad (NanoMalaysia) menandatangani perjanjian usaha sama (JV) bersama Nanopac (M) Sdn. Bhd. (Nanopac) untuk membangun dan mengkomersialkan panel kuasa solar terkini iaitu Nano Light Energy Panel (NLEP).

 

Dengan kerjasama itu, Nanopac akan memiliki saham sebanyak 60% manakala NanoMalaysia pula memiliki baki saham sebanyak 40% dalam syarikat yang baru ditubuhkan iaitu Nanopac Innovation.  

Nanopac memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan yang termasuk pembuatan dan pengagihan produk nanoteknologi serta teknologi pemangkin foto. 

 

NanoMalaysia Berhad pula ditubuhkan pada tahun 2011 sebagai sebuah syarikat berhad menurut jaminan (SBMJ) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk bertindak sebagai sebuah entiti perniagaan yang diamanahkan dengan aktiviti pengkomersialan dan perindustrian nanoteknologi menerusi model pembangun usaha sama.  

 

Ketua Pegawai Eksekutif Nanopac, Datuk Dr. Cheng Kok Leong berkata, NLEP merupakan produk baharu dan pengubah pasaran yang bukan sahaja menyaingi bahan api fosil untuk menggerakkan dan meningkatkan industri, malah ia juga mampu mengatasi kesukaran yang dihadapi oleh panel solar.

 

Cheng Kok Leong
Cheng Kok Leong

 

"Kami telah menerima pesanan bernilai lebih AS$400,000 dari China dan Thailand pada peringkat pra pengkomersialan. Berdasarkan permintaan ini, kami menjangkakan jualan awal sebanyak RM1.5 juta dalam masa tiga tahun mulai tahun 2021.

 

"Oleh sebab kami memiliki kelebihan pemula pertama pasaran di Malaysia dan juga di rantau ASEAN, kami yakin produk ini akan diterima dengan baik di semua pasaran sasaran kami termasuk China, Thailand dan Macau," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Panel solar berkenaan sesuai untuk penyebaran cahaya matahari dalam iklim Malaysia dan boleh dipasang sebagai tingkap serta mempunyai kelebihan berbanding photovoltaic standard. 

 

Panel berasaskan kaca yang menggunakan nanoteknologi ini berupaya menjana kuasa elektrik menggunakan cahaya yang boleh dilihat, sama ada cahaya matahari atau cahaya pendafluor dalam bangunan sehingga 100 watt sejam. 

 

Ia juga memiliki kelebihan tempoh mengumpulkan solar yang lebih lama mulai 8 pagi hingga 6 petang berbanding photovoltaic standard.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia, Dr Rezal Khairi Ahmad berkata, Malaysia memiliki bakat dan kapasiti tempatan untuk mencipta teknologi pengubah dan membina satu set rantaian nilai dan bekalan ke arah peluang pekerjaan dan keusahawanan.

 

Rezal Khairi Ahmad
Rezal Khairi Ahmad

 

"Malaysia mahu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (Greenhouse gases, GHG) sebanyak 45% menjelang tahun 2030. Selain itu, kapasiti photovoltaic (PV) yang dipasang di Malaysia berjumlah hampir 882MW dengan peningkatan pengumpulan tenaga solar yang tinggi. 

 

"Oleh yang demikian, kita wajar menuntut proprietari untuk panel solar yang kita miliki dan memegang hak milik teknologi. 

 

"Kami menjangkakan bahawa titik harga untuk NLEP akan dapat dikurangkan sehingga 60% berbanding harga photovoltaic standard pada penarafan kuasa yang sama menerusi pengeluaran secara besar-besaran," tambah beliau.

 

NLEP juga mudah digunakan dalam pelbagai cara termasuk bangunan pencakar langit dengan tingkap yang besar, laluan 
pejalan kaki dan pada meja serta peranti mudah alih seperti telefon, komputer riba malah pada e-pembaca. 

 

Oleh sebab tingkap tenaga solar ini boleh menggantikan tingkap kaca tradisional di pejabat dan rumah, teknologi berkenaan berpotensi untuk menjadikan setiap bangunan sebagai pengeluar tenaga solar disebabkan oleh tingkap tenaga solar itu yang boleh menggantikan tingkap kaca tradisional di pejabat dan rumah. - DagangNews.com