NationGate terima kelulusan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

NationGate terima kelulusan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Nov - Pembekal perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) sehenti, NationGate Holdings Berhad berjaya mendapatkan kelulusan Bursa Malaysia Securities Berhad untuk disenaraikan di Pasaran ACE. 

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, tawaran awam permulaan (IPO) merangkumi terbitan awam sebanyak 435.5 juta saham baharu mewakili 21% daripada modal saham yang diperbesarkan.

 

Katanya, sejumlah 103.7 juta saham baharu akan disediakan kepada orang ramai melalui pengundian, diikuti 103.7 juta saham baharu untuk pengarah dan pekerja yang layak manakala baki 228.1 juta saham baharu diperuntukkan untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Kumpulan itu berkata, sebagai sebahagian daripada penyenaraian, pemegang saham sedia ada syarikat itu juga akan membuat tawaran untuk penjualan 290.4 juta saham melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Pengarah Urusan NationGate, Ooi Eng Leong berkata, kelulusan penyenaraian itu merupakan peristiwa penting dalam perjalanan syarikat untuk menjadi entiti tersenarai.

 

“Pelan penyenaraian yang dicadangkan kami berfungsi untuk mengukuhkan kekuatan kewangan untuk pelaburan semula dalam segmen teknologi, serta membina dan mengekalkan tenaga kerja berbakat dalam landskap teknologi dinamik yang sentiasa berubah dalam persekitaran EMS.

 

“Ia juga akan membolehkan kami mengumpul dana yang kami perlukan untuk membeli mesin dan peralatan tambahan untuk mengembangkan lagi kapasiti pemasangan teknologi pelekap permukaan kami, dan meningkatkan kecekapan pengeluaran kami, sejajar dengan peningkatan permintaan daripada pelanggan sedia ada dan baharu kumpulan kami,” katanya.

 

NationGate dijangka disenaraikan di Pasaran ACE menjelang Januari 2023.

 

M&A Securities Sdn. Bhd. ialah penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO. - DagangNews.com