Nazral Safril Mohammad Sapari dilantik Pengarah Modal Insan MDEC | DagangNews Skip to main content

Nazral Safril Mohammad Sapari dilantik Pengarah Modal Insan MDEC

Nazral Safril Mohammad Sapari

Nazral Safril Mohammad Sapari

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mengumumkan pelantikan Nazral Safril Mohammad Sapari sebagai Pengarah Modal Insan baharu.

 

Memiliki pengalaman lebih 25 tahun dalam bidang pengurusan sumber manusia, beliau akan meneruskan perancangan dan pelaksanaan fungsi, pentadbiran dan operasi bersepadu untuk MDEC.

 

MDEC berkata, pelantikan tersebut sejajar dengan visi mencipta semula pendekatan MDEC yang merupakan agenda perubahan strategik untuk mencapai objektif menjadi organisasi berprestasi dan berimpak tinggi. 

 

"MDEC juga memperkenalkan Metrik Penilaian Input, Output, Outcome & Impact (IOOI) untuk menyelia peruntukan dan penggunaan sumber masa depan selain mengukur secara berkesan sumbangan sosioekonomi organisasi kepada masyarakat.

 

"Dalam menyokong agenda perubahan ini, Nazral Safril diyakini akan mendorong peningkatan yang berterusan untuk kecemerlangan operasi berdasarkan penyelarasan fungsi sumber manusia.

 

"Selain itu, beliau juga dijangka akan menyumbang kepada strategi perniagaan, mengembangkan perancangan dan program sumber manusia supaya selaras dengan strategi kebangsaan MDEC," jelas MDEC dalam satu kenyataan.

 

Sebelum menyertai MDEC, Nazral Safril merupakan Pengurus Besar Sumber Manusia dan Pentadbiran di Touch’n Go Sdn. Bhd. dan telah memainkan peranan penting dalam melaksanakan agenda transformasi. 

 

Peranannya yang dimainkan termasuklah menyelaraskan inisiatif berdasarkan pengalaman yang dimiliki tenaga kerja supaya selari dengan hala tuju perniagaan syarikat yang sentiasa berubah termasuk aspek pembayaran mikro serta penggunaan penyelesaian teknologi digital. 

 

Hasilnya, syarikat berkenaan diiktiraf sebagai majikan pilihan oleh Institut Sumber Manusia Malaysia pada 2019.

 

Beliau turut mempunyai rekod prestasi cemerlang apabila berjaya menggabungkan strategi operasi dan penyelarasan sumber manusia.

 

Sementara itu, Pengerusi MDEC, Datuk Wira Dr. Hj. Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, beliau  mengalu-alukan kehadiran Nazral Safril ke pasukan MDEC dan berharap dapat bekerjasama dengan erat kerana pihaknya sedang mencipta semula MDEC untuk manfaat pelbagai lapisan rakyat dan seterusnya mencapai visi Malaysia 5.0.

 

“Ketika meraikan ulang tahun ke- 25 penubuhan MDEC pada tahun ini, agensi mempunyai keupayaan berdasarkan apa yang dimiliki oleh masa depan digital Malaysia.

 

"MDEC akan terus memimpin ekonomi digital Malaysia ke hadapan, dengan membabitkan sumbangan berpandukan struktur yang dimiliki serta bakat luar biasa yang akan direkrut," tambah beliau.

 

Menerima pelantikan tersebut,  Nazral Safril memberitahu, beliau gembira diberi peluang untuk memimpin jabatan modal insan di MDEC yang dianggapnya sebagai luar biasa untuk menempuh fasa pertumbuhan yang berikutnya.

 

“Saya berpendapat apabila sesuatu tugas diberikan, ia perlu dilakukan dengan bersungguh dan sepenuh hati serta memberi nilai tambah atau jangan diterima jika tidak bersedia," ujar beliau. - DagangNews.com