NCER agih dana RM16 juta kepada usahawan PMKS Perak rangsang perniagaan | DagangNews Skip to main content

NCER agih dana RM16 juta kepada usahawan PMKS Perak rangsang perniagaan

Saarani (barisan belakang di tengah) dan Mohamad Harris (barisan belakang, kiri) semasa hadir pada majlis penyerahan dokumen NTIC.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 7 Nov - Sebanyak 10 syarikat di Perak menerima agihan Dana Usahawan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) berjumlah lebih RM16 juta bagi merangsang pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negeri ini.

 

Antaran penerimanya ialah syarikat HZ Green Pulp Sdn. Bhd., B-Crobes Laboratory Sdn. Bhd., Syarikat MedicPets Sdn. Bhd., Syillis Manufacturing Sdn. Bhd. dan Mesra AgroHerbs Sdn. Bhd.

 

Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad berkata, manfaat diterima usahawan itu hasil kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP).

 

Katanya, ia bagi membantu PMKS di negeri ini terus berkembang dan berdaya saing.

 

Terima

 

"Inisiatif yang dilaksanakan NCIA itu sangat signifikan dalam menjayakan agenda kerajaan negeri untuk meningkatkan ekosistem dan kumpulan bakat di Perak. 

 

"Usaha NCIA ini telah berjaya menarik pelaburan, memupuk perniagaan tempatan dan memperkasakan komuniti.

 

“Kami berharap untuk meneruskan kerjasama dengan NCIA supaya terus menarik pelaburan, memupuk inovasi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat Perak,” jelasnya.

 

Terdahulu, beliau penyempurnaan Majlis Penyerahan Dokumen bagi Program Pusat Inovasi Teknologi Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NTIC) dan Sijil Penghargaan kepada syarikat terpilih di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

 

Syilis
Syilis Manufacturing Sdn. Bhd. antara syarikat PMKS Perak yang sedang meningkat naik.

 

Hadir sama Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Loh Sze Yee; Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan dan Pengarah STeP, Mohamad Rozlan Mohamad Razalli.

 

Sementara itu, Mohamad Haris Kader berkata, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan kerajaan Perak bagi melaksanakan strategi yang akan meningkatkan daya tarikan kepada pelabur dari dalam dan luar negara.

 

Tambahnya lagi, NCIA juga akan terus memainkan peranan penting dalam melaksanakan program berteraskan Pendidikan dan Latihan Vokasional (TVET).

 

"Sehingga kini seramai 5,333 peserta telah menjalani latihan kemahiran TVET sebagai persediaan memenuhi pasaran pekerjaan ketika ini.

 

Terima

 

"Dalam sektor pelancongan pula, NCIA telah membantu membangunkan semula Taman Eko Rimba Lata Kinjang dengan menaik taraf pelbagai kemudahan untuk pelancong," ujarnya.

 

Jelasnya lagi, pihaknya juga turut bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menubuhkan Koperasi Orang Asli Lata Kinjang (KOALK) bagi menguruskan kawasan pelancongan berkenaan yang berupaya meningkatkan sosioekonomi penduduk setempat.

 

Sejak dibuka pada 2022, Taman Eko Rimba Lata Kinjang telah berjaya menarik seramai lebih 110,000 pelancong dari dalam dan luar negara, sekali gus membantu KOALK menjana pendapatan sebanyak RM1.27 juta.- DagangNews.com