Negara Asia sedang pesat membangun kurang hadapi kemusnahan ekonomi- Moody's  | DagangNews Skip to main content

Negara Asia sedang pesat membangun kurang hadapi kemusnahan ekonomi- Moody's 

 

 

KUALA LUMPUR 14 Jun - Kemusnahan ekonomi di negara Asia sedang pesat membangun susulan krisis hutang negara adalah kurang ketara berbanding di negara maju berikutan beban hutang permulaan yang rendah dan ruang fiskal yang luas, demikian menurut Moody’s Analytics.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ketika negara Asia sedang pesat membangun turut berdepan larian modal, kejatuhan kadar tukaran dan peningkatan inflasi di peringkat awal krisis, hubungan perdagangan yang erat antara China dan Amerika Syarikat membantu pemulihan rantau itu di negara maju.

 

“Meskipun India menyertai krisis dengan baki paras hutang yang tinggi, pendedahan antarabangsa yang rendah dalam sektor kewangannya dan hampir keseluruhan pemilikan hutang kerajaan dalam negeri mengehadkan penularan, manakala ekonomi domestiknya kurang terjejas daripada kemelut kewangan global,” katanya seperti dilapor Bernama hari ini.

 

Menurut Moody's Analytics, sebaik sahaja pemimpin dasar dan perniagaan semakin yakin bahawa pelepasan hutang akan membendung penularan kewangan daripada pasaran sedang pesat membangun, krisis di negara maju dan Asia sedang pesat membangun akan reda.

 

“Permulaan kepada senario lebih buruk ini mungkin kepada China. Walaupun paras hutang kerajaan rendah dan ruang fiskal luas, sektor korporat dan isi rumah yang leveraj boleh menyediakan sokongan terutama sekiranya usaha untuk membendung pinjaman tidak berlaku seperti yang dirancang.

 

“Krisis hutang China akan memberi tamparan lebih besar kepada negara maju dan sedang pesat membangun dan mencetuskan masalah lebih rumit kepada Asia sedang pesat membangun. 

 

"Memandangkan hubungan kewangan antara China dan negara maju dan sedang pesat membangun yang lain semakin berkembang, kemerosotan ekonomi global adalah sukar untuk dibendung,” katanya.

 

Mengenai Malaysia, Moody's Analytics berkata, seperti beberapa pasaran sedang pesat membangun yang lebih besar telah kehabisan ruang fiskal, kapasiti pinjaman di Malaysia telah mengecil akibat kenaikan defisit dan hutang dalam tempoh lima tahun lepas.

 

Selain Malaysia, agensi itu berkata Mexico, Brazil, Colombia dan Russia turut kehabisan ruang fiskal.

 

Moody’s berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia adalah 64 peratus setakat suku pertama 2021, manakala hutang boleh kekal maksimum berjumlah 35 peratus daripada KDNK. - DagangNews.com