Negeri Sembilan dijangka mampu tingkatkan pengeluaran hasil padi 6 tan setahun pada 2028 | DagangNews Skip to main content

Negeri Sembilan dijangka mampu tingkatkan pengeluaran hasil padi 6 tan setahun pada 2028

Datuk Seri Jalaluddin Alias (berbaju batik biru) diberikan penerangan mengenai baja yang digunakan dalam pertanian pada Seminar Teknologi Padi dan Seminar Pemasaran Digital Industri Asas Tani Jabatan Pertanian Negeri Sembilan 2023 di Muar, baru-baru ini.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Okt - Negeri Sembilan dijangka mampu meningkatkan pengeluaran hasil padinya daripada 4.3 tan setiap hektar kepada enam tan sehektar menjelang tahun 2028 sekiranya kesemua keluasan tanah sawah di negeri ini dapat diusahakan dengan baik.

 

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, ketika ini negeri mempunyai petak padi seluas 1,992 hektar dan 1,223 hektar yang lazim diusahakan dengan tanaman padi.

 

"Ia merangkumi 13 skim padi di empat daerah termasuk Jelebu, Jempol, Kuala Pilah dan Tampin.

 

“Namun, pada tahun 2023 hanya 755 hektar sahaja yang ditanam padi di Negeri Sembilan disebabkan kerja menaik taraf sistem pengairan di kebanyakan skim padi tersebut, " katanya pada Seminar Teknologi Padi dan Seminar Pemasaran Digital Industri Asas Tani Jabatan Pertanian Negeri Sembilan 2023 di Muar, baru-baru ini.

 

Jalaluddin berkata, menjadi antara agenda sekuriti makanan di Negeri Sembilan untuk membina sebuah pusat pemprosesan padi berskala kecil bagi penghasilan beras kegunaan rakyat di negeri itu.

 

Selain itu katanya, usahawan industri hiliran di negeri itu perlu diberikan pendedahan tentang pemasaran digital seiring dengan perubahan zaman dan teknologi semasa.

 

"Kita tidak boleh ketinggalan dalam perkembangan teknologi pada ketika ini kerana walaupun kita berada dalam bidang pertanian, tapi biarlah kita menjadi petani yang maju dan berteknologi tinggi.

 

“Ramai orang tidak tahu bahawa di Negeri Sembilan mempunyai banyak produk hiliran yang sedap, kerepek ubi yang ranggup, bahulu dan dodol yang mempunyai rasa unik dan tersendiri," katanya.

 

Katanya, sebanyak 717 projek usahawan yang berdaftar di Jabatan Pertanian Negeri Sembilan, namun hanya 422 projek usahawan yang aktif, maka apabila publisiti dan hebahan ini berjalan dengan baik, pastinya ramai pengunjung dari luar akan datang ke negeri itu untuk mendapatkan barangan tersebut. 

 

Beliau berkata, semua usaha pembangunan modal insan yang dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian ini sama ada untuk pemindahan teknologi padi mahupun pemerkasaan pemasaran digital usahawan Industri Asas Tani adalah untuk memastikan agar usahawan Negeri Sembilan lebih pro aktif dan efisyen dalam bidang usaha masingmasi bagi mendepani cabaran-cabaran subsektor padi,penggunaan media digital bagi pemasaran produk usahawan. - DagangNews.com