Ni Hsin lancar motosikal EV, sasar jualan 15,000 unit setahun | DagangNews Skip to main content

Ni Hsin lancar motosikal EV, sasar jualan 15,000 unit setahun

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Nov - Ni Hsin Group Berhad menerusi anak syarikatnya, Ni Hsin EV Tech Sdn. Bhd. menyasarkan penjualan 15,000 unit motosikal EV Tailg Ebixon dalam tempoh setahun selepas ia dilancarkan hari ini.

 

Sasaran tahunan itu dibuat untuk tempoh tiga tahun dan meliputi jualam di rantau Asia Pasifik.

 

Dua model motosikal elektrik yang dilancarkan itu adalah Tailg Ebixon Bold dan Tailg Ebixon Torq masing-masing dalam kategori kegunaan peribadi dan komersial dipasang di kilang pembuatan Syarikat di Seri Kembangan.

 

Pengarah Urusan Ni Hsin EV Tech, Khoo Chee Kong berkata, selepas lebih dua tahun bekerja keras dan kajian serta kerjasama dengan Dongguan Tailing Motor Vehicle Co., Ltd, syarikat itu akhirnya dapat menghasilkan motosikal elektrik untuk pasaran tempatan

 

Beliau berkata, model pertama yang diuji adalah motosikal enjin pembakaran dalaman (ICE) yang tidak cekap dan selepas beberapa siri percubaan motosikal elektrik yang bersih dan mempunyai pelepasan sifar karbon berjaya dihasilkan. 

 

"Pandemik COVID-19 telah menyebabkan lonjakan dalam e-dagang dan oleh itu permintaan terhadap perkhidmatan penghantaran dan motosikal merupakan pilihan popular untuk penghantaran lebih cepat selain penyelenggaran yang rendah, motosikal elektrik adalah yang terbaik kerana cekap tenaga.

 

nihsin
Khoo Chee Kong 

 

"Terdapat banyak peluang untuk penggunaan EV, dengan kerajaan menyediakan insentif dalam bentuk pelepasan cukai untuk pemasangan atau pembuatan EV, bahagian komponen, dan pembangunan ekosistem EV seperti kemudahan pengecasan. 

 

"Kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga dijangka menerima pakai penggunaan EV," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, pihaknya sedang mendakan rundingan dengan beberapa GLC, agensi kerajaan dan peniaga bagi mempromosikan, memasarkan dan mengedarkan motosikal EV itu di rantau ini.

 

Model perniagaan kumpulan itu merangkumi jualan langsung dan sewa milik kepada perniagaan serta pengguna.

 

Usaha Kumpulan dalam pembuatan dan pemasangan motosikal EV menekankan komitmennya terhadap tanggungjawab sosial dan alam sekitar sambil mewujudkan aliran pendapatan hijau dalam perdagangan karbon, di mana pelepasan dianggap sebagai kredit karbon atau offset yang boleh dijual di pasaran karbon seperti pasaran karbon sukarela Bursa Securities Malaysia Berhad (Bursa VCM), akan dibuka pada akhir tahun 2022.

 

Bursa VCM akan menyediakan ketelusan dalam pasaran kredit karbon, meningkatkan pelaburan dalam projek mengimbangi berkualiti tinggi seperti menanam pokok atau beralih kepada bahan api yang lebih bersih.

 

Sempena pelancaran dua model motosikal EV Tailg Ebixon itu, Ni Hsin juga akan menandatangani Memorandum Perjanjian dengan beberapa organisasi yang dihormati dan mempunyai hubungan baik, antaranya MIMOS Berhad, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (PROLINTAS), HAI-O Enterprise Berhad dan PT Winn Pratama Indonesia bagi membantu pemasaran, promosi dan pengedaran motosikal EV ini. - DagangNews.com