Nilai jualan Sektor Pembuatan pada Julai cecah RM157.1 bilion, pertumbuhan tertinggi sejak Februari 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Nilai jualan Sektor Pembuatan pada Julai cecah RM157.1 bilion, pertumbuhan tertinggi sejak Februari 2023 - DOSM

Bilangan pekerja dalam sektor pembuatan pada Julai merosot sedikit sebanyak 0.01 peratus berbanding 0.3 peratus pada bulan sebelumnya. - Gambar WinYee Chong/ Unsplash
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 10 Sept - Nilai jualan sektor pembuatan Julai 2024 mencecah RM157.1 bilion, mencatatkan lonjakan 9.1 peratus berbanding bulan yang sama sebelumnya dan menandakan pertumbuhan tertinggi sejak Februari 2023, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan sebahagian besarnya dipacu oleh pertumbuhan dua angka sebanyak 16.0 peratus daripada subsektor makanan, minuman dan tembakau.

 

“Ini diikuti oleh produk elektrik dan elektronik pada 8.2 peratus dan petroleum, kimia, getah dan plastik pada 6.2 peratus.

 

“Pada asas bulan ke bulan, nilai jualan meningkat 0.6 peratus daripada RM156.1 bilion pada Jun 2024 (0.8 peratus),” katanya.

 

DOSM berkata industri berorientasikan eksport yang merangkumi 72.3 peratus daripada jumlah nilai jualan, kekal kukuh dengan pertumbuhan 9.4 peratus pada Julai 2024 selepas mencatatkan 6.0 peratus pada bulan sebelumnya.

 

Ia berkata prestasi yang lebih baik itu disumbangkan oleh peningkatan dalam industri pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (9.1 peratus), pembuatan minyak dan lemak sayuran dan haiwan (23.5 peratus) dan pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (4.8 peratus).

 

Bagi perbandingan bulan ke bulan, DOSM berkata nilai jualan industri berorientasikan eksport menurun sedikit sebanyak 0.5 peratus. Begitu juga dengan industri berorientasikan dalam negeri yang mengukuh pada 8.4 peratus, dipengaruhi oleh pembuatan produk makanan pada 7.0 peratus.

 

 

dosm

 

 

Dalam pada itu, DOSM berkata industri pembuatan kenderaan bermotor, treler dan separa treler meningkat semula kepada 6.2 peratus daripada penurunan 5.2 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

 

Sebagai perbandingan secara bulanan, ia berkata nilai jualan industri berorientasikan domestik meningkat sebanyak 3.7 peratus selepas mencatatkan aliran menurun sejak April 2024.

 

“Terdapat 2.37 juta pekerja terlibat dalam sektor pembuatan pada Julai 2024, meningkat 1.3 peratus (Jun 2024: 1.0 peratus) berbanding setahun lalu.

 

“Pertumbuhan itu sebahagian besarnya disebabkan oleh makanan, minuman dan tembakau (4.0 peratus); produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam fabrikasi (2.3 peratus); dan kayu, perabot, produk kertas dan percetakan (1.2 peratus),” katanya.

 

DOSM berkata bilangan pekerja dalam sektor pembuatan pada Julai merosot sedikit sebanyak 0.01 peratus berbanding 0.3 peratus pada bulan sebelumnya.

 

Pada masa yang sama, gaji dan upah yang dibayar dalam sektor pembuatan meningkat sebanyak 2.4 peratus, mencecah jumlah RM8.12 bilion, menjadikan purata gaji dan upah bulanan setiap pekerja meningkat sebanyak 1.2 peratus tahun ke tahun kepada RM3,429.

 

Sehubungan itu, Mohd Uzir berkata nilai jualan bagi setiap pekerja meningkat 7.8 peratus untuk merekodkan RM66,285 berbanding RM65,874 pada Jun 2024.

 

“Bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, nilai jualan terkumpul sektor pembuatan mencecah RM1,078.6 bilion, meningkat 4.5 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023,” katanya.

 

Mohd Uzir berkata bilangan pekerja meningkat 1.3 peratus kepada 2.37 juta orang, manakala gaji dan upah meningkat 1.5 peratus kepada RM57.4 bilion.

 

“Nilai jualan bagi setiap pekerja berjumlah RM455,213, mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.2 peratus,” katanya. - DagangNews.com