Nilai saham Dataprep susut hampir 10% selepas ‘amaran’ Bursa | DagangNews Skip to main content

Nilai saham Dataprep susut hampir 10% selepas ‘amaran’ Bursa

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Mac - Harga saham Dataprep Holdings Berhad yang melonjak mendadak sehingga mencecah RM3.15 setakat semalam, menyusut dengan ketara pada awal dagangan pagi ini. 

 

Ini susulan Bursa Malaysia Securities menasihati para pelabur untuk berhati-hati ketika mendagangkan saham Dataprep yang naik mencanak daripada hanya 18 sen pada awal Januari lalu. 

 

Setakat 9.36 pagi, nilai saham Dataprep menyusut 29 sen atau 9.21% daripada paras yang ditutup, RM3.15 kepada RM2.86.

 

Baca : Kaunter teknologi ‘heret’ turun KLCI pagi ini

 

Pada 1 Mac lalu, Bursa Malaysia meminta penjelasan daripada Dataprep berhubung aktiviti pasaran yang tidak biasa (UMA Query). 

 

Sehubungan itu, menerusi makluman di Bursa Malaysia semalam, Dataprep memberi maklum balas bahawa kumpulan syarikat itu tidak menyedari sebarang punca terhadap situasi berkenaan.

 

“Syarikat dalam maklum balasnya terhadap UMA Query mengesahkan bahawa pihaknya tidak mengetahui perkembangan atau penjelasan korporat yang boleh menimbulkan aktiviti perdagangan luar biasa dalam sahamnya kecuali pengumuman yang dibuat pada 15 [1], 16 [2] dan 23 [3] Februari 2021, katanya.

 

Pada 15 Februari, Dataprep mengumumkan bahawa pengambilalihan 51% kepentingan dalam syarikat pengedar perisian dan komponen multimedia, Ridaa Associates Sdn. Bhd. telah selesai. 

 

Pada pengumuman kedua pula, kumpulan syarikat mencadangkan tawaran persendirian sebanyak 138.6 juta saham baharu kepada pelabur pihak ketiga di mana nilainya akan ditentukan kemudian. 

 

Pada 23 Februari pula, KAF Investment Bank Berhad bagi pihak Dataprep mengumumkan bahawa permohonan bagi tawaran persendirian itu telah dihantarkan kepada Bursa Securities pada 22 Februari 2021.

 

Menurut laman web rasmi Dataprep, kumpulan syarikat itu menjadi firma teknologi maklumat (IT) pertama yang disenarai awam di Bursa Malaysia Securities pada 1991. 

 

Jelasnya, sebagai perintis industri, Dataprep bersama-sama anak syarikatnya mempunyai 47 tahun pengalaman yang terkumpul dalam bidang berkenaan.

 

Kumpulan syarikat itu menawarkan perkhidmatan spektrum teknolologi maklumat dan komunikasi menyeluruh kepada klien dalam pelbagai industri termasuk kerajaan, pendidikan, telekomunikasi serta produk dan perkhidmatan kewangan. - DagangNews.com