Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 19 Ogos - Syarikat penyedia perkhidmatan logistik dan kurier terkemuka di Asia Tenggara, Ninja Van menawarkan ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia menerusi jaringan perkhidmatannya.
Ketua Pegawai Eksekutif Ninja Van Malaysia, Adzim Halim berkata, peluang tersebut dibuka susulan prestasi memberangsangkan syarikatnya selepas tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Kami bersyukur kerana berada dalam bidang perkhidmatan perlu 'essential service' kerana dapat membantu dan menyokong rakyat Malaysia. Kita telah menggaji lebih ramai pekerja seperti pemandu untuk proses penghantaran pada tempoh PKP itu.
"Jadi, kita akan terus mencari dan menggaji pekerja-pekerja lain juga hingga akhir tahun ini. Mungkin lebih daripada ribuan pemandu untuk industri ini," jelasnya ketika ditemui selepas sesi perkongsian ringkas oleh Ninja Van di ibu negara hari ini.
Jelas Adzim, peluang pekerjaan yang dibuka itu turut melibatkan pemandu kenderaan dan penunggang motosikal bagi tujuan penghantaran barang serta pekerja pejabat.
"Ninja Van akan membuka pusat atau hub baharu di Malaysia. Jadi, kita amat memerlukan pekerja untuk memenuhi dan melancarkan urusan Ninja Van. Kami amat berharap agar peluang itu dapat dimanfaatkan orang ramai sekali gus dapat meningkatkan jumlah permintaan dan jualan kami," tambahnya lagi.
Sementara itu, Pengurus Jualan dan Kolaborasi Ninja Van Malaysia, Fariz Maswan berkata, pihaknya turut melakukan beberapa penambahbaikan digital dalam perkhidmatan Ninja Van.
"Masa PKP baru-baru ini kita telah lalukan penambahbaikan terhadap sistem kita yang membantu memudahkan penghantar barangan dan juga pengguna. Kita tingkatkan lagi sistem notifikasi dan komunikasi kepada cara yang lebih mudah melalui Simple Notification Service (SNS).
"Kalau sebelum ini pelanggan akan menerima notifikasi melalui SMS atau emel, tetapi sekarang kita tambah baik yang mana dapat dilakukan melalui pesanan masej Facebook, Line dan juga menerusi aplikasi Whatsapp," jelasnya.
Penambahbaikan tersebut mewujudkan komunikasi dua hala antara penghantar barangan dengan pelanggan serta memberi peluang kepada pelanggan untuk membuat sebarang perubahan terhadap barangan yang akan diterima.
Pelanggan dapat mengubah masa dan alamat penghantaran sekiranya dilihat tidak sesuai tanpa melibatkan sebarang caj bagi penghantaran di Semenanjung Malaysia.
Pembaharuan tersebut telah melalui fasa percubaan pada April dan dilancarkan sepenuhnya bermula 1 Ogos 2020.
"Maklum balas yang kami terima sangat baik khususnya daripada peniaga atau penghantar barangan kerana mereka tidak lagi perlu menggunakan pekerja untuk buat kerja ini, kerana platform yang kami sediakan ini dapat mengurangkan jumlah tenaga kerja," ujarnya. - DagangNews.com